Oleh Ku Mohd Lufti
Impian Malaysia untuk mara ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja tidak kesampaian apabila tewas kepada pendahulu, Belgium 0-3 dalam aksi terakhir bagi perlawanan peringkat kumpulan B.
Turun dengan status underdog, skuad kendalian Lawrence Tan bolos di minit ke 10 menerusi jaringan padang yang disempurnakan Gregory Stockbroekx.
Malaysia seharusnya menyamakan kedudukan diminit ke 19, namun percubaan Muhd Najmi Farizal Jazlan hasil gerakan pukulan sudut penalti gagal menembusi kubu lawan.
Sebaliknya Belgium tenang mengatur gerakan dan berjaya meledak gol kedua di minit ke 33 menerusi gol padang yang disempurnakan Vuentin VanLKierde untuk pasukannya selesa dengan 2-0.
Skuad kendalian Wallace Tan terus goyah apabila Belgium semakin mendominasi perlawanan dan berjaya melakar jaringan ketiga hasil gerakan pukulan sudut penalti menerusi Thomas Verheijen di minit ke 55.
Kedudukan 3-0 memihak Belgium kekal hingga tamat perlawanan, sekaligus Malaysia gagal meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Belgium kekal di tangga teratas kumpulan B dengan kemenangan 100 peratus sekaligus mengesahkan kemaraan bersama sama Belanda yang menang selesa 7-0 ke atas Mesir.
Malaysia akan beraksi bagi penentuan tempat ke 9 hingga 11.