Malaysia membuka tirai Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Vietnam dengan langkah kanan setelah membelasah Timor Leste 7-2 dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Tertutup Phu Tho, Bandar Ho Chi Minh pada Khamis.
Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu mendahului 4-1 di separuh masa pertama sebelum menambah tiga jaringan di separuh masa kedua.
Abu Haniffa Hassan dan Awalluddin Mat Nawi menjaringkan dua gol manakala Akmarulnizam Idris, Khairul Effendy Baharin dan Azwann Ismail masing-masing menjaringkan satu gol.
Dua gol buat Timor Leste dijaringkan oleh Bruno Gomes dan Ilidio Nunes.
Pasukan negara yang meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir akan berdepan Laos dalam aksi kedua pada Jumaat diikuti Thailand pada Sabtu.
Sementara itu dalam satu lagi aksi yang berlangsung lebih awal, juara bertahan Thailand melaungkan amaran awal apabila beraksi garang untuk membelasah Laos 14-0.
Dalam aksi Kumpulan A pula, finalis musim lalu Myanmar membelasah Brunei 13-0 sementara Indonesia pula menjinakkan Filipina dengan jaringan 21-0.OLEH MUHD AIMAN