9th ASEAN Para Games KL2017 - Men Shot Put F20 Gold Medallist - Malaysia Muhammad Ziyad Zolkefli
9th ASEAN Para Games KL2017 – Men Shot Put F20 Gold Medallist – Malaysia Muhammad Ziyad Zolkefli

9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotJuara dunia, Ziyad Zolkefli meraih pingat emas di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 penuh bergaya dengan memperbaharui rekod temasya pada hari yang menyaksikan Malaysia mengungguli saingan olahraga dengan tambahan tujuh emas.

Skuad olahraga para negara turut menambah sembilan perak dan enam gangsa sekaligus menjadikan keseluruhan 20 emas, 21 perak dan 23 gangsa selepas empat hari pertandingan berlangsung.

Thailand meraih enam pingat emas manakala Indonesia yang mendominasi tiga hari pertama memenangi tambahan empat emas.

Tumpuan di lapangan olahraga Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis terarah kepada Ziyad yang turun dengan misi mempertahan emas buat kali keempat berturut-turut sejak memenanginya pada edisi 2011.

9th ASEAN Para Games KL2017 – Men Shot Put F20 Gold Medallist – Malaysia Muhammad Ziyad Zolkefli

Ikon sukan para itu yang masih segar dengan kejayaan meraih gangsa di Sukan SEA bulan lalu, mempamer semangat luar biasa dan tampil bertenaga untuk melakukan lontaran sejauh 16.81m pada percubaan keenam yang sekaligus meleburkan rekod 15.69m miliknya sendiri yang dilakar di Naypyitaw tiga tahun lalu.

Pingat perak dimenangi rakan senegara, Aliff Awi dengan lontaran 12.79m manakala Sanepoot Boonkong dari Thailand memenangi gangsa.

9th ASEAN Para Games KL2017 – Discus Throw Men F36 F37 Gold Medallist – Malaysia Muhammad Hafiz Abu Bakar

Muhammad Hafiz Abu Bakar pula memenangi emas acara lempar cakera F36/37 (celebral palsy) setelah melakukan lemparan sejauh 33.51m, mengatasi rakan senegara Shamli Waidi yang memenangi perak dan Ahmad Fauzi dari Indonesia meraih gangsa.

Bagi acara merejam lembing F12/13 (masalah penglihatan), pingat emas menjadi milik Mohd Hisham Khaironi dengan rejaman sejauh 49.98m yang dilakukannya pada percubaan ketiga.

Doriah Paolus pula mengotakan janji untuk memenangi emas merejam lembing F42/44 (kecacatan anggota) dengan melakukan rejaman sejauh 31.1m. Pingat perak dimenangi Warmia Marto dari Indonesia manakala Thi Thu Thuan dari Vietnam memenangi gangsa.

Turut menyumbang emas buat kontijen negara adalah Jonathan Wong menerusi acara lompat jauh T11/12 dengan lompatan sejauh 6.98m yang dilakukannya pada percubaan pertama.

Pingat perak menjadi milik seorang lagi atlet negara, Mohamad Saifuddin Ishak dengan catatan 6.56m manakala atlet Thailand Punthong Jakkit memenangi gangsa dengan catatan 5.46m.

Tidak ketinggalan menghadiahkan emas buat negara, Adderin Majurin menerusi acara lontar peluru F32/33/34 (celebral palsy) dengan catatan 7.51m.

Sementara itu, keputusan acara lontar peluru F36/37 (celebral palsy) yang berlangsung semalam, Shamli secara rasminya diisytiharkan sebagai pemenang emas. Tiada pemenang perak dan gangsa bagi kategori tersebut.

Saingan hari kelima yang bersambung esok akan menyaksikan 25 emas dipertandingkan.

 

Apa kata mereka :
Ziyad Zolkefli : “Pertama sekali hari ini saya berjaya memberi tumpuan 100 peratus dan memberikan yang terbaik khas buat keluarga, jurulatih dan penyokong yang datang menonton saya beraksi.

Saya gembira dengan catatan 16.81m kerana sasaran saya pun untuk melakar catatan di sekitar itu selepas memberikan latihan paling maksimum sebelum Sukan SEA.

Ini hanya kesinambungan selepas Sukan SEA walaupun saya mengurangkan sedikit tahap latihan tapi keputusannya masih mampu membuatkan saya berpuas hati dan gembira.

Terima kasih kepada mereka yang datang memberi semangat dan tidak putus-putus menjerit kepada saya.

- Advertisement -