Oleh Muhammad Aiman
Pengendali pasukan kebangsaan, Stephen Van Huizen menuntut barisan pemainnya kekal fokus agar momentum kemenangan dapat diteruskan apabila berdepan Jepun dalam aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia QNET di Stadium Hoki Kuantan, pada Ahad.
Stephen berkata adalah silap jika menganggap Jepun merupakan pasukan paling lemah di kalangan enam pasukan yang beraksi di kejohanan edisi keempat ini setelah pasukan itu tewas dua perlawanan pertama menentang India (2-10) dan China (1-2).
“Saya percaya perlawanan menentang Jepun adalah sama pentingnya sepertimana dua perlawanan lalu berdepan Pakistan dan China. Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan Jepun kerana sudah tentunya mereka mahu bangkit selepas tewas besar kepada India dan China,” ujar Stephen.
Tambahnya, “Kita tidak mengharungi aksi yang baik menentang Jepun ketika jelajah kita ke sana beberapa bulan lalu namun dengan adanya skuad menghampiri kekuatan penuh ketika ini, saya berharap kita dapat teruskan rentak kemenangan tanpa masalah.
“Jepun mempunyai pemain berpengalaman dalam skuad mereka tetapi kebanyakannya adalah pemain muda dengan hanya beberapa penampilan antarabangsa. Mereka mengambil masa sesuaikan diri dengan suasana kejohanan dan pantas dihukum India. Kini mereka ibarat harimau terluka dan kita perlu berwaspada.”
Pasukan negara yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir membuka tirai kejohanan dengan penuh bergaya apabila menundukkan juara bertahan Pakistan 4-2 dalam aksi pertama dan kemudiannya membelasah China 5-1 pada perlawanan kedua yang berlangsung Jumaat.
Kehadiran semula tiga pemain tonggak iaitu Razie Rahim, Nabil Fiqri Md Nor dan Faizal Saari serta keupayaan menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti dilihat antara faktor menyemarakkan prestasi The Speedy Tigers ketika ini.
Sementara itu, jurulatih Jepun Yamasori Takahiko berpendapat peluang masih terbuka kepada semua pasukan untuk memburu tempat di separuh akhir justeru mahu pemainnya bangkit memberi tumpuan kepada baki tiga perlawanan menentang Malaysia, Pakistan dan Korea.
“Kami perlu melupakan kekalahan lalu, pemain sendiri kecewa dengan prestasi mereka ketika menentang India dan telah cuba bangkit dengan permainan lebih baik ketika menentang China,” ujar Takahiko yang mengakui kekuatan pasukan negara adalah pada pukulan sudut penalti.
“Kita juga telah menyaksikan Malaysia bermain dan mereka adalah skuad yang telah jauh berubah berbanding ketika menentang kami di Jelajah Jepun. Adalah lebih baik jika kami dapat kurangkan dari memberi pukulan sudut penalti kepada mereka, dalam masa sama penyerang kami juga perlu tajam.”