Oleh Ku Mohd Lufti
Pakar pecut Terengganu Cycling (TSG) Mohd Harrif Salleh menarik nafas lega apabila berjaya meraih kemenangan dalam saingan lumba berbasikal Jelajah Malaysia 2016 selepas mengungguli peringkat ketiga dari Gua Musang ke Paser Putih.
Harrif Salleh membuktikan pecutannya mampu mengatasi dominasi pasukan Pishgaman Giant yang mengungguli dua peringkat terdahulu apabila terlebih dahulu melintasi garisan penamat dalam kelompok besar dengan catatan masa 4 jam, 49 saat.
Tempat kedua milik pelumba KSPO, Park Sung Baek diikuti Irwandie Lakasek daripada pasukan NSC Mycron melengkapkan podium bagi peringkat ketiga.
Harrif Salleh turut berjaya merampas jersi biru selaku pendahulu baru bagi kategori raja pecut daripada Rahim Emami selepas berjaya mengumpul 30 mata diikuti pelumba KSPO, Seo Joon Yong yang ketinggalan satu mata.
Manakala jersi kuning masih kekal disarung pelumba pasukan Pishgaman Giant, Arvin Moazami Godarzi yang mengumpul catatan masa 11 jam 58 minit 5 saat, diikuti rakan sepasukannya, Amir Kolahdouz Hagh yang ketinggalan lebih tiga minit.
Peringkat keempat, tiada lagi pendakian dimana perlumbaan pastinya tertumpu kepada pakar pecut, laluan landai bermula dari Machang, Kelantan menuju ke Gong Badak, Terengganu dengn jarak 125.2 kilometer.