Oleh Muhammad Aiman
Melaka United berdepan kemungkinan kehilangan penaja utama mereka sejak enam musim lalu, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd setelah syarikat pengeluar makanan dan minuman itu menyatakan hasrat mahu menarik diri dari meneruskan tajaan bagi musim depan.
Ahli Lembaga Pengarah Mamee, Datuk Gary Choo bagaimanapun berkata ia hanya cadangan awal syarikat itu setelah melihat minat yang ditunjukkan pelbagai pihak untuk terbabit sebagai penaja baru pasukan juara 100 Plus Liga Premier itu.
“Ini membuktikan bolasepak Melaka semakin popular dan mendapat perhatian. Sudah tentunya ia sangat baik untuk perkembangan bolasepak negeri ini. Apapun, kami (Mamee) sedia menaja sekiranya masih diperlukan bagi tahun 2017, cuma kami terlebih dahulu mahu memberi laluan kepada penaja baru,” kata Gary.
Baru-baru ini, Mamee turut menaja skuad juara Liga Premier Melaka untuk melawat Old Trafford, stadium keramat Manchester United sebagai ganjaran kejayaan pasukan itu layak ke Liga Super setelah sembilan tahun.
Gary berharap walau siapapun yang terlibat sebagai penaja pasukan itu nanti, kecemerlangan ditunjukkan sejak dua musim lalu akan dapat diteruskan selain berharap agar Melaka mampu memberi saingan sengit dan mengukuhkan reputasi selaku pencabar utama dalam Liga Super musim depan.
Untuk rekod, Melaka muncul juara Liga Premier musim ini dengan mengumpul 50 mata, dua mata mengatasi pencabar terdekat PKNS Selangor manakala penyerang berbisa mereka, Ilija Spasojevic pula muncul penjaring terbanyak dengan 24 gol.