Khairul Azhan Khalid , The Kuantan-born custodian started his career as a footballer with Pahang FA President's Cup Team under-21 as the main Goalkeeper.
Khairul Azhan Khalid , The Kuantan-born custodian started his career as a footballer with Pahang FA President’s Cup Team under-21 as the main Goalkeeper.

Oleh Muhammad Aiman

Khairul Fahmi Che Mat atau Khairul Azhan Mohd Khalid?

Persaingan merebut posisi penjaga gol nombor satu negara tampak semakin sengit antara dua Khairul ini tatkala Dato’ Ong Kim Swee sedang mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 bulan ini.

Khairul Fahmi merupakan penjaga gawang pilihan utama sejak membuat penampilan di Piala AFF Suzuki 2010 – ketika itu dia menggantikan Sharbinee Allawee yang melepaskan lima gol di perlawanan pertama kepada Indonesia dan beraksi cemerlang menjadi antara tonggak membantu Malaysia muncul juara buat pertama kali.

Selepas enam tahun, bintang Kelantan itu masih mengenggam erat posisi tersebut walaupun beberapa penjaga gol seperti Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan Norazlan Razali telah cuba mencabarnya namun gagal sama ada kerana masalah kecederaan, kurang menyerlah ataupun jarang diturunkan pasukan masing-masing.

Situasinya berbeza kali ini apabila Khairul Azhan yang pernah dinobatkan Pemain Paling Bernilai 100Plus-Liga Malaysia 2014 dilihat lebih menyerlah musim ini dan menunjukkan peningkatan memberansangkan sekaligus membayangkan kesediaan merampas tempat Khairul Fahmi.

“Mungkin masih awal buat saya, kerana masih banyak lagi perlu saya belajar dan pertingkatkan. Tetapi, saya bersedia sahut cabaran seandainya diberi tanggungjawab tersebut.

“Saya tahu betapa signifikannya saingan Piala AFF Suzuki, saya merupakan penjaga gol simpanan ketika dua tahun lalu. Saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan siapa yang patut diturunkan, saya sentiasa bersedia,” ujar penjaga gol Selangor berusia 27 tahun itu.

Di sebalik Selangor tidak melalui musim yang baik dalam saingan Liga Super, Khairul Azhan merupakan antara watak penting yang memacu kemaraan pasukan gergasi merah kuning ke aksi final Piala Malaysia baru-baru ini, yang menyaksikan Selangor tewas 5-6 kepada Kedah menerusi penentuan penalti.

Untuk rekod, Khairul Azhan memulakan kariernya bersama Shahzan Muda pada 2010 dan namanya mula menjadi sebutan setelah membantu Pahang bergelar juara Piala Malaysia dua musim berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Bagi Kim Swee, dia gembira melihat perkembangan positif ini, “Saya merasakan Khairul Azhan sudah bersedia setelah menunjukkan aksi impresif ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura bulan lalu. Saya tidak meragui kualitinya.

“Saya tidak perlu terlalu pening untuk posisi penjaga gol kerana mempunyai pengganti setanding sekiranya berlaku apa-apa masalah kecederaan.”

Seorang lagi penjaga gol yang turut dipanggil Kim Swee bagi menjalani latihan pusat adalah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.

- Advertisement -