SKUAD berbasikal negara melakar kejutan terbesar semalam selepas meraih pingat emas menerusi acara ujian masa berpasukan lelaki pada saingan hari ketiga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kejayaan tersebut merupakan bonus buat skuad lebuh raya negara kerana mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam acara tersebut.
Begitupun, barisan pelumba negara yang diperkuatkan oleh Mohd. Fauzan Ahmad Lufti, Nik Mohd. Azwan Zulkifle serta Mohd. Ameer Mohd. Kmala dan Mohd. Ameen Mohd. Kamal telah menjelmakan emas pada perlumbaan sejauh 51 kilometer itu yang bermula dan berakhir di Dataran Nilai, Negeri Sembilan.
Ia merupakan pingat emas kedua buat skuad lebuh raya negara selepas kejayaan Mohd. Hariff Saleh dalam acara kriterium lelaki semalam.
Dua lagi pelumba negara yang turut menyumbang pingat kepada kontinjen negara semalam adalah Jupha Somnet yang menang perak dalam acara kriterium wanita dan Mohd. Zamri Saleh yang meraih gangsa dalam acara kriterium lelaki.
Esok, skuad lebuh raya negara akan tampil ke gelanggang untuk memburu kejutan menerusi acara ujian masa individu wanita.
Barisan pelumba wanita negara yang bakal diketuai Jupha Somnet dan Nurul Shuhada Zainal serta Nurasiyah Zubir, bertekad untuk mengulangi pencapaian yang dilakar pasukan lelaki hari ini dan bagi mereka, tiada yang mustahil jika semua pelumba dapat memainkan peranan dengan baik.
Skuad wanita memang tidak diramal untuk menang pingat dalam acara tersebut kerana mereka sedar pasukan seperti Thailand, Vietnam mahupun Indonesia memiliki kekutan yang luar biasa.
Namun, kelebihan beraksi di laman sendiri akan membantu membangkitkan semangat mereka untuk mencipta kejutan, sekurang-kurangnya menjulang pingat gangsa.
Jika impian tersebut dapat direalisasikan, ia boleh dianggap bonus buat skuad ujian masa wanita negara.
Menurut jurulaith skuad wanita negara, Mohd. Firdaus Daud, mereka seharusnya mempergunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, lagipun para pelumba sudah biasa dengan laluan yang bakal digunakan pada perlumbaan itu nanti.
“Saya akui kelebihan beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan untuk meraih kejayaan, tetapi kita akan tetap mencuba yang terbaik.
“Skuad lebuh raya wanita memang tidak disasarkan untuk meraih emas, tetapi usaha ke arah itu merupakan perjuangan utama kami.
“Pada temasya di Singapura dua tahun lalu, skuad wanita meraih dua gangsa menerusi acara lebuh raya dan siapa tahu mereka mungkin boleh mengubah warna pingat tersebut pada Sukan SEA kali ini,” jelas Firdaus.
Sandaran untuk mencipta kejutan sudah pastinya diletakkan di bahu Jupha yang telah membutikan kehebatannya dalam acara kriterium semalam.
Jupha juga menjadi sandaran emas buat skuad berbasikal wanita negara menerusi acara omnium.
Pada Sukan SEA kali ini, skuad wanita negara melatakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih tiga emas dan kesemuanya menerusi acara trek.
Jupha dan Fatehah Mustapha diramal dapat merealisasikan impian tersebut berdasarkan status mereka sebagai antara pelumba trek wanita terbaik di rantau ini.