Terengganu FC layak ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas tujuh tahun.
Sejak mara ke final edisi 2011, Terengganu gagal untuk menempatkan diri dalam kalangan pencabar utama dan pencapaian terbaik selepas itu hanyalah mara ke suku akhir sekali pada 2014.
Mereka berjaya menoktahkan penantian itu pada Jumaat menerusi sentuhan Irfan Bakti Abu Salim dan ironinya dia jurulatih yang sama membawa mereka ke final pada tujuh tahun lalu.
Pengendali berpengalaman luas berusia 67 tahun itu nyata cukup gembira setelah melihat aksi ditunjukkan pasukannya ketika menewaskan Felda United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia dan menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya.
Terengganu bangkit dari ketinggalan dua gol untuk melakar kemenangan bergaya 4-3 di Kuala Terengganu dan mara ke separuh akhir dengan agregat 6-4, dengan kesemua empat gol dijaringkan di separuh masa kedua.
“Kami tidak bermula dengan baik dan banyak kehilangan bola di awal separuh masa pertama. Walaupun pemain Felda turun ke bawah tapi pemain saya tidak berani pegang bola dan minta bola menyebabkan pergerakan terputus dan lawan menunggu peluang itu untuk menghasilkan jaringan.
“Ia bertambah buruk apabila lawan menambah jaringan di awal separuh masa kedua tetapi kemasukan Malik (Mat Ariff) dan Faiz Nasir pada separuh masa kedua mengubah corak permainan kita.
“Apa yang boleh saya katakan mental pemain begitu kuat untuk bangkit memadam kelebihan itu dan saya puji sikap pemain yang tidak berputus asa. Aksi yang ditunjukkan ini membuktikan kita sememangnya layak berada di separuh akhir, ” kata Irfan.
Dalam aksi di hadapan hampir 12,000 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Felda bimbingan B.Sathianathan mendahului menerusi Thiago Junior dan Ahmad Syamim Yahya sebelum Terengganu bangkit mengikat kedudukan menerusi Lee Tuck dan Adib Aizuddin.
Felda kembali di depan menerusi Gilberto Fortunato namun Malik Mat Ariff dan Tcheche Kipre memastikan kemenangan sensasi buat Terengganu.
Di separuh akhir nanti Terengganu akan bertemu sama ada Johor Darul Takzim ataupun Pahang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN