Kali terakhir sukan Judo menyumbangkan pingat emas di temasya Sukan SEA adalah pada edisi 1981. Ketika di Singapura 2015, lima gangsa dibawa pulang manakala pingat perak terakhir dimenangi pada edisi Laos 2009.
Melihat kepada pencapaian ini, maka tidak hairanlah apabila melihat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada awalnya keberatan untuk menyenaraikan sukan ini di temasya Kuala Lumpur 2017 meskipun ianya adalah sukan yang dipertandingkan di Olimpik.
Tidak mahu Judo terus dianggap sukan mempertahankan diri âpaling lemahâ buat Malaysia, jurulatih Judo negara, Marjan Abdullah mencabar atletnya untuk menyerlahkan prestasi terbaik seterusnya menoktahkan badi pingat emas sejak 36 tahun lalu.
Marjan yang merupakan atlet Judo terakhir untuk menyumbangkan pingat perak di Sukan SEA setelah dia tewas dalam perlawanan akhir pada 2009 percaya dengan persiapan dan pendedahan yang lebih berkualiti kali ini, sasaran pingat emas adalah tidak mustahil.
âTiada peluang yang lebih baik buat kita untuk membuktikan kenapa kita layak berada dalam Sukan SEA. Ini adalah waktu paling tepat, kita mendapat sokongan dari semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara malah telah diserap ke dalam Program Kita Juara.
âMelalui sokongan ini, kita dapat membiaya atlet-atlet yang terpilih beraksi di Sukan SEA untuk menjalani latihan dua bulan di Mongolia. Kita mengenalpasti atlet kita lebih awal kerana Judo hanya mempunyai enam acara dipertandingkan,â kata Marjan yang mengambil alih tugas ketua jurulatih pada 2013.
Begitupun, perlu diakui peluang Judo menyumbang emas tetap dianggap sukar berbanding sukan-sukan seperti Karate, Taekwondo dan Wushu kerana pencabar-pencabar dari Thailand dan Indonesia rata-ratanya mempunyai reputasi dan pencapaian yang baik di peringkat Asia.
âApapun, saya sentiasa ingatkan mereka agar tidak gentar. Saya harap salah seorang dari Mohd Farhan (Uzair) atau Nor Izzatul (Fazila) akan mara ke perlawanan akhir dan menamatkan saingan selaku pemenang emas,â ujar Marjan yang dijangka mendapat gambaran lebih jelas mengenai peluang atlet Malaysia setelah berakhirnya Terbuka Asia di Taipei pada 8-9 Julai ini.
Seramai enam atlet akan mengalas cabaran di KL 2017, masing-masing tiga bagi kategori lelaki dan perempuan iaitu Chong Wei Fu, Mohd Farhan Uzair (bawah 73kg), Brenton Sim (bawah 81kg), Nik Norlydiawati Nik Azman (bawah 63kg), Siti Noor Aisyah Shahabuddin (70kg) dan Izzatul Fazila (bawah 78kg). – OLEH MUHAMMAD AIMAN