Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM kembali menggegar gelanggang perlumbaan.
Tahun ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi venue untuk aksi Pusingan 1 dengan sesi latihan bebas tampil sebagai agenda pembuka acara hari ini.
Dua hari lalu, litar ini turut menjadi medan untuk sesi ujian rasmi bagi semua pasukan yang akan beraksi di ARRC tahun ini.
Agenda hari ini bermula dengan sesi latihan bebas bagi semua kategori yang pertadingankan di ARRC iaitu UB150, AP250, SS600 dan ASB1000.
Setiap kategori diperuntukan tiga sesi latihan iaitu pada sebelah pagi, tengah hari serta petang dan setiap sesi berlangsung selama 30 minit.
Pada sesi pagi, pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Md Akid Aziz mula mempamerkan taringnya apabila muncul terpantas pada sesi pertama dengan masa 2:32.160 saat (s) sepusingan.
Pelumba asal Kuala Lumpur itu terus mengekalkan rentak cemerlang pada sesi kedua apabila melakukan catatan 2:32.627s sepusingan, sekali gus mengekalkan reputasinya selaku pelumba terpantas pada dua sesi awal itu.
Begitupun, rentak yang dipamerkan oleh Akid itu belum cukup untuk membolehkannya menguasai saingan pada sesi kelayakan apabila dia sekadar menghuni tempat ketujuh terpantas dengan catatan masa 2:32.862s.
Sesi kelayakan tersebut dikuasai pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (ONEXOX TKKR SAG Team) yang merekodkan masa terpantas 2:31.358s.
Richard Richie Taroreh (Proliner RCB 549 Kaboci Racing Team) dari Indonesia pula berada di kedudukan kedua terpantas dengan masa 2:31.874s.
Pelumba negara terpantas pada sesi kelayakan kelas UB150 hari ini adalah Ahmad Fazli Sham yang berada di kedudukan ketiga dengan masa 2:32.059s.
Turut tampil cemerlang pada sesi hari ini adalah pelumba pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Muhammad Izam Ikmal yang muncul terpantas dalam dua sesi latihan bebas bagi kelas AP250.
Izam Ikmal menguasai sesi kedua dan ketiga yang menyaksikannya mencatat masa terpantas sepusingan iaitu 2:25.563s (sesi kedua) dan 2:25.427s pada sesi ketiga.
Sesi pertama dikuasai pelumba Indonesia, Andy Muhammad Fadly (Motul Manual Tech Racing Team dengan masa 2:24.966s.
Sesi kelayakan bagi kelas AP250 akan berlangsung esok.
Sementara itu, pelumba pasukan PACHI ZK Racing, Md Adam Noorodin mula mengorak langkah apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bagi kelas SS600cc.
Pelumba negara itu tampil dengan catatan masa terpantas pada sesi pertama iaitu 2:09.736s.
Catatan tersebut gagal diatasi pelumba lain meskipun, sekali gus direkodkan sebagai masa terbaik pada sesi tersebut.
Seorang lagi pelumba negara, Md Helmi Azman (Boon Siew Honda Racing Team) turut memperlihatkan watak sang juara selepas menguasai saingan pada sesi ketiga apabila muncul terpantas dengan masa 2:09.918s.
Begitupun, catatan yang dilakukannya masih belum mampu untuk mengatasi rekod yang dilakarkan oleh Adam.
Bagi kelas ASB1000cc pula, pelumba asal Jerman, Markus Reiterberger (ONEXOX TKKR SAG Team) bakal menjadi pencabar utama musim ini apabila menguasai sesi latihan hari ini.
Pelumba tersebut tampil terpantas dengan catatan masa 2:05.031s sepusingan, sekali gus menjadikannya antara pelumba yang perlu diawasi pada saingan musim ini.
Markus yang membuat penampilan pertama di ARRC turut menguasai sesi ujian rasmi di litar yang sama dua hari lalu.
Juara bertahan kelas ASB1000cc, Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX TKKR SAG Team) masih belum menemui rentak cemerlangnya apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga tertas pada sesi latihan bebas hari ini.
Azlan menutup sesi hari ini dengan berada di kedudukan keenam terpantas dengan catatan masa 2:06.568s.
Esok, sesi kelayakan akan berlangung pada sebelah pagi sebelum bermulanya Perlumbaan 1 pada sebelah petangnya.