Semangat juang tinggi dan permainan berkualiti berjaya ditunjukkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam aksi suku akhir Kejohanan Piala AFC Bawah 23 semalam. Kecewa? Sedih? tidak wujud  perasaan itu di hati penyokong khususnya di bumi Malaysia.! . 

Tidak pernah termimpi bahawa Malaysia mampu mengimbangi perlawanan menentang Korea Selatan yang juga naib juara ketika edisi 2016!

Walaupun Korea Selatan mencipta sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol terpantas kejohanan itu selepas 15 saat permainan dimulakan hasil kesilapan kecil Matthew Davies, namun skuad muda kita tidak terus menundukkan kepala.

Mereka bangkit! Mereka bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama. Boleh dikatakan  kita mengatasi persembahan Korea Selatan pada separuh masa pertama.

 Beberapa gerakan berbahaya berjaya dihasilkan skuad muda negara namun gagal menewaskan penjaga gol Korea, Kang Hyeon Mu. 

Agak menghairankan mengapa Korea Selatan membenarkan pemain negara menguasai permainan. Mungkin memilih jalan selamat untuk bertahan atau sememangnya pemain kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk membuktikan sesuatu kepada dunia. Ya, dunia! Bukan sekadar ingin membuktikan sesuatu kepada rakyat Malaysia.

 Mengapa ‘membuktikan sesuatu kepada dunia’? Kerana mereka bermain bola sepak secara positif. Bukan sekadar bertahan dan melambungkan bola kepada penyerang.

 Mereka memecahkan pressing yang dilakukan Korea Selatan. Pemain kita juga tidak takut untuk memegang bola dengan lama dan menunggu peluang membuat hantaran-hantaran berbahaya. 

Bila kali terakhir kita melihat skuad negara kita bermain possession apabila menentang pasukan yang berkredibiliti tinggi selain daripada Kejohanan AFC ini?  

Inilah bukti bahawa  mereka ingin membuktikan sesuatu kepada dunia! Lihat sahaja statistik perlawanan ini.

Meremang bulu roma ditambah dengan sorakan kegembiraan apabila Thanabalan, anak jati Negeri Sembilan menggegar jaring Taeguk Warriors untuk menyamakan kedudukan.

Tidak boleh digambarkan perasaan itu. Setelah 65 minit beraksi,  crossing yang betul-betul berkualiti selain hantaran Safawi Rasid ke Thana sekaligus  membuktikan bahawa dia sememangnya seorang poacher yang berkualiti. Mampu berada di kawasan yang betul pada waktu yang betul.

 Kekuatan mental skuad muda negara juga harus dipuji. Mampu bermain dan bertahan dengan baik sehingga minit ke-85.

Tidak boleh dilupakan  ketika Haziq melakukan double save untuk menidakkan percubaan Korea Selatan yang juga  merupakan turning point utama perlawanan semalam.

Korea benar-benar tersentak dengan tindakan reflek Haziq kerana Korea Selatan agresif melancarkan serangan selepas itu. Malaysia dipaksa bertahan bermati-matian sambil perlu mencari gol kedua untuk mara ke separuh akhir.

Malaysia mampu mara ke separuh akhir sekiranya para pemain tidak kepenatan. Mereka kelihatan sedikit penat kerana mengamalkan tempo permainan yang tinggi untuk terlalu lama dan bertahan terlalu lama.

Bukan lah sesuatu yang negatif untuk bermain dengan tempo permainan tinggi terlalu lama, malah ianya amat menarik dan corak permainan sebegini sesuatu yang perlu dikekalkan  .

Cuma kudrat yang dimiliki pemain tidak cukup untuk mengamalkan permainan sebegini selama 90 minit. Lihat saja 15 minit terakhir, beberapa kali Korea Selatan berjaya melepasi benteng pertahanan kita dengan mudah, menerusi hantaran ke bahagian sayap. Kecergasan pemain negara harus ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

 Korea Selatan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85. Benteng pertahanan negara yang diasak bertubi-tubi akhirnya tewas untuk kali kedua selepas mempamerkan persembahan berkualiti sepanjang permainan.

Apakan daya. Inilah bola sepak. Ianya satu permainan yang kejam. Namun tidak wajar untuk rakyat Malaysia berduka. Apa yang kita mahukan daripada pasukan telah pun mereka berikan!

 KESIMPULAN :

Tidak susah untuk memuaskan hati peminat. Tunjukkan corak permainan yang baik dan bersungguh-sungguh, sudah memadai bagi peminat.

Kami sedar, Malaysia bukan lah powerhouse dalam dunia bola sepak, jadi kunci penunjuk prestasi (KPI) kami terhadap pasukan sekadar inginkan persembahan yang baik sahaja, dan pasukan telah berikannya kepada kami sepanjang Kejohanan AFC 2018 ini.

Setidaknya, mereka telah buktikan yang Malaysia kini bukanlah pasukan belasahan di peringkat antarabangsa. Tahniah Datuk Ong Kim Swee! Tahniah para pemain dan juga staf!

 Kepada para pemain, diharap momentum ini dapat dikekalkan. Attitude yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini tidak boleh hilang sekiranya ingin melangkah lebih jauh pada masa akan datang. Jangan terlalu selesa dengan situasi sekarang. Anda semua perlu majukan diri untuk membantu peminat melihat Jalur Gemilang berkibar di kejohanan Piala Dunia suatu hari nanti!

Kepada peminat, janganlah ingat kejayaan mara ke suku akhir kejohanan ini telah merubah landskap bola sepak Malaysia secara total. Kita harus realistik. Perjalanan masih jauh. Cuma setidaknya, harapan yang sebelum ini malap untuk melihat perubahan dalam landskap bola sepak negara, kini bersinar kembali. – OLEH KARAMI KAMEL 

- Advertisement -