Oleh Muhammad Aiman
Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan mungkin berjaya membawa Dato’ Lee Chong Wei kembali ke kedudukan nombor satu dunia seterusnya mempertahankan pingat perak di Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut selepas episod malang gagal ujian doping pada satu ketika.
Namun, itu tidak cukup untuk menjamin masa depan Hendrawan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tatkala kontrak jurulatih dari Indonesia itu bakal berakhir pada hujung tahun ini memandangkan dia sebenarnya gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata Hendrawan yang mula melatih Chong Wei sejak April tahun lalu diberikan KPI utama untuk memastikan pemain nombor satu dunia itu menjuarai Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia selain membawa pulang pingat emas dari Rio De Janeiro 2016.
Chong Wei bagaimanapun berkesudahan sebagai finalis di dua kejohanan itu, kedua-duanya tewas kepada pemain nombor dua dunia dari China, Chen Long malah Hendrawan sendiri dilaporkan pernah memberi bayangan untuk tidak menyambung kontraknya bersama BAM.
Mengulas perkara ini, Chin Chai berkata, “Buat masa ini, kontrak Hendrawan masih berjalan seperti biasa. Kami akan berbincang dengan Chong Wei, kami perlu tahu dia masih mahu bermain di Tokyo 2020 atau tidak.
“Selepas mendapat pandangan dari Chong Wei barulah kami akan buat keputusan sama ada nak sambung, jadikan dia jurulatih pemain lain atau kekal sebagai jurulatih Chong Wei.”
Secara peribadi, Chin Chai berkata tidak mustahil kelibat Chong Wei dapat disaksikan dalam temasya olimpik kelima buatnya andai dia masih mempunyai keinginan untuk beraksi dan kudratnya masih boleh bertahan untuk tempoh empat tahun akan datang, yang mana ketika itu usianya sudah mencecah 38 tahun.