Nur Ayuni (kiri) dan Siti Muslifah (kanan) bergandingan dengan Nur Suryani menyumbang pingat perak di Singapura 2015

Masalah disiplin dikatakan sebagai punca dua penembak senior, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Siti Muslifah Zulkifli digugurkan dari skuad yang akan membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Adam Tee Ching Huat berkata prestasi kedua-dua penembak riffle itu jatuh mendadak sejak mereka digugurkan dari Program Podium pada Februari lalu.

ā€œMereka penembak elit yang bagus, tetapi dalam sukan menembak disiplin perlu berada di tahap tertinggi. Muslifah dan Nur Ayuni sepatutnya fokus meningkatkan balik prestasi sebaik digugurkan dari Podium tetapi berlaku sebaliknya di mana mereka tidak mengikut arahan jurulatih malah kerap ponteng latihan tanpa alasan.

ā€œJadi kami buat keputusan menggugurkan nama mereka, mereka faham dan terima keputusan ini,ā€ kata Adam setelah menyerahkan senarai nama 23 atlet ā€“ 16 lelaki dan tujuh wanita kepada Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA Majlis Olimpik Malaysia.

Untuk rekod, pada bulan Februari lalu, Nur Ayuni dan Siti Muslifah bersama-sama dua lagi penembak Nur Suryani Taibi dan Ezuan Nasir Khan digugurkan dari Program Podium kerana tidak mencapai standard/kriteria ditetapkan.Ā 

Adam berkata tempat dua atlet berpengalaman itu dalam skuad Sukan SEA akan diambil alih oleh seorang lagi penembak senior, Shahera Rahim Raja yang kembali ke dalam skuad selepas beberapa tahun serta penembak berusia 17 tahun, Nur Izazi Rosli ā€“ kedua-duanya layak secara merit.

NSAM turut membuat kejutan dengan menyenaraikan nama Eng Wei Jin, penembak berusia 14 tahun yang mencuri tumpuan dengan memenangi emas acara ā€˜double trapā€™ di Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 yang berlangsung di Subang bulan lalu.

Mengenai sasaran di KL 2017, Adam mengesahkan NSAM meletakkan sasaran memenangi empat pingat emas dengan tumpuan terarah kepada acara pistol.

Ketika di Singapura 2015, pasukan menembak membawa pulang dua emas, lapan perak dan tiga gangsa. Satu daripada pingat emas itu disumbangkan Nur Ayuni menerusi acara 50m rifle tiga posisi malah atlet kelahiran Pahang itu turut menyumbang satu perakĀ  dan satu gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -