Pengendali skuad bolasepak B-23 kebangsaan, Datoâ Ong Kim Swee membuka pintu kepada lebih ramai pemain-pemain muda untuk cuba memenangi hatinya bagi disenaraikan beraksi di Sukan Asia yang akan berlangsung di Jakarta pada Ogos depan.
Ia sekaligus menepis tanggapan bahawa Kim Swee akan kekal dengan skuad sedia ada miliknya yang tampil cemerlang memenangi pingat perak di Sukan SEA 2017 dan kemudiannya mencuri tumpuan ramai dengan mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China bulan lalu.
âMemang sekarang kita ada sebuah skuad yang cukup bagus, pencapaian di AFC berjaya buka mata ramai tetapi kita tidak boleh berpuas hati dan perlu sentiasa buat penambahbaikan terutama dari segi âpoolâ pemain, dan ini akan menjadikan saingan merebut tempat dalam skuad lebih sengit, setiap pemain akan bekerja keras.
âSaya tidak mahu wujudkan satu situasi di mana pemain fikir mereka sudah bagus, tempat mereka sudah terjamin dan tidak boleh digugat. Pada saya, siapa yang bermain baik, sama ada dia pemain Liga Super, Liga Premier, Piala FAM mahupun Piala Presiden, jika dia bagus, dia akan diberi ruang.
âSama seperti bagaimana saya memberi peluang kepada lima pemain skuad B-19 bermain di AFC tempoh hari,â kata Kim Swee.
Tambahnya, âSudah tentu saya mengharapkan lebih ramai pemain berusia bawah 21 tahun akan menyerlah membuktikan sesuatu. Lagi pula skuad B-19 juga akan bermain di Kejuaraan AFC tahun ini, saya mahu melihat mereka meneruskan prestasi baik. Sasaran kita adalah untuk jangka panjang, di mana beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi impian.
âSeperti saya pernah katakan sebelum ini, cadangan saya adalah membawa pemain berusia bawah 21 tahun bermain di Sukan Asia, ia akan menjadi pendedahan yang cukup baik buat mereka dalam usaha kita menempatkan diri sebagai empat pasukan terbaik di Kejuaraan AFC 2019 yang juga kelayakan olimpik.â
Antara pemain dari luar skuad Liga Super dan Premier yang mendapat tempat dalam skuad Kim Swee sebelum ini adalah N.Thanabalan, Adib Zainudin (Felcra FC â Liga FAM), Daniel Ashraf Abdullah, Nik Akif Syahiran (Piala Presiden Kelantan), Shivan Pillay Asokan (Piala Belia PKNS), K.Thivandaran (Piala Presiden Pulau Pinang) dan Raphi Azizan (PJ Rangers â Liga FAM). – OLEH MUHAMMAD AIMAN