Oleh Muhammad Aiman
Bekas penembak kebangsaan, Siti Nur Masitah Mohd Badrin berhasrat untuk kembali bersama skuad kebangsaan dan membawa cabaran negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 setelah membidik catatan terbaik peribadinya dalam laluan meraih emas acara 10m pistol udara di Kejohanan Menembak Selangor, pada Jumaat.
Penembak berusia 30 tahun itu yang baru sahaja kembali beraksi sejak Mac lalu selepas mengambil keputusan berehat daripada menyertai sebarang pertandingan sejak November tahun lalu kerana melahirkan anak, mencatat 193.8 mata di pusingan akhir di Lapang Sasar Subang.
Lebih manis buat penembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, dia menewaskan dua penembak terbaik kebangsaan ketika ini, Joseline Cheah (perak – 193.10 mata) yang juga rakan sepasukannya di ATM serta Joseline Cheah (gangsa – 172.4 mata), penembak PDRM.Â
“Jujur saya tidak menjangka dapat memperbaiki catatan peribadi terbaik saya di pusingan akhir kerana saya hanya mencatat purata 371 mata di pusingan kelayakan dan berada di kedudukan keenam dari 34 penembak,” katanya.
Tambah Masitah, “Pada pusingan akhir, saya cuma melakukan yang terbaik dan membidik dengan konsisten untuk mengatasi Joseline dan Bibiana. Saya gembira untuk memenangi emas pertama saya tahun ini.
“Saya telah membuktikan saya masih boleh menembak dengan baik, harapan saya adalah dapat kembali bersama pasukan kebangsaan. Saya mahu mewakili negara di Sukan Sea Kuala Lumpur. Saya sedang menanti surat tawaran dari Majlis Sukan Negara.”
Untuk rekod, bidikan peribadi terbaik pemenang pingat perak di Sukan SEA Myanmar 2013 itu sebelum ini adalah 182.9 mata, catatan yang dilakukannya dalam satu kejohanan tempatan tiga tahun lalu.