Oleh Ku Mohd Lufti
Persiapan Ketua Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt menjelang Sukan SEA ke 29 sedikit terencat apabila khidmat dua tonggak, Matthew Davies dan, Nur Shamie Iszuan Amin terpaksa dilupakan.
Davies yang beraksi untuk Pahang manakala Shamie pemain tengah yang mewakili pasukan Sarawak mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super sekaligus terlepas perlawanan persahabatan antarabangsa skuad bawah 22 tahun negara menentang skuad bawah 22 tahun Vietnam di Bandar Ho Chi Minh pada 7 Februari depan.
Mahu atau tidak, Bernhardt akur terpaksa melakukan rombakan ke atas pasukannya ketika menentang skuad bawah 22 tahun Vietnam kelak.
“Ia bukan tugas yang mudah kerana kami terpaksa membuat pertukaran posisi, malah cuba melakukan yang terbaik buat masa ini. Kami perlu mencari penyelesaian dalam tempoh singkat,” kata Bernhardt.
Pengendali kelahiran Jerman ini punya calon pengganti N. Thanabalan dari kelab Felcra FC serta Shahrul Hakim Rahim yag bermain untuk Kelantan.
Dengan persiapan yang serba tidak menentu tatkala masa tinggal kurang enam bulan sahaja lagi, Bernhardt jelas sekali tidak punya pilihan dan masa.
“Kami mesti memberi cabaran hebat kepada lawan (Vietnam) dan bermain dengan cara kami dan perlu cuba mencari peluang dan gol.
“Jika kami dipaksa bermain secara bertahan, kami perlu bertahan dengan kuat untuk mengelakkan sebarang bolos.” Tambah Bernhardt.
Aksi menentang skuad bawah 22 tahun Vietnam merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa pertama Frank Bernhardt bagi tahun ini sebelum ke Emiriyah Arab Bersatu untuk menyertai Piala Dubai bermula 20 hingga 28 Mac depan.