MUHAMMAD Najimi Farizal Jazlan menjaringkan dua gol untuk mengemudi Maybank membenam Nurinsafi HT 4-0 untuk terus bertakhta sebagai pendahulu Liga Hoki Malaysia (Premier) 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini. 

Kemenangan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat Maybank yang kini mengumpul jumlah 9 mata penuh dan seharusnya membuka laluan lebih cerah buat bekas juara dua kali itu untuk mengulangi kecemerlangan tahun 1994 dan 1995. 

Keadaan semakin parah buat Nurinsafi HT yang mengalami kekalahan ketiga dengan jumlah 9 gol bolos setakat ini. 

Selepas permulaan yang agak perlahan, Maybank berjaya memecah kebuntuan berada di depan menerusi jaringan penalti sudut Muhammad Najmi pada minit ke-10 untuk mendahului 1-0 hingga tamat suku kedua. 

Babak separuh masa kedua menyaksikan Maybank tampak agresif dan berjaya menghasilkan tiga gol dalam tempoh 12 minit menerusi jaringan padang Muhammad Haziq samsul (minit ke-32), Najmi (37) dan Hafifihafiz Hanafi (FG) pada minit ke-44.

Jurulatih Maybank Azrul Effendi Bistamam lega apabila memenangi ketiga-tiga perlawanan sebelum ini yang sememangnya  menjadi sasaran pasukannya. Ia sebagai persediaan menghadapi saingan sukar selepas ini termasuk berdepan THT Khamis ini (18 Mac) dan TNB pada Ahad depan. 

“Kami perlu manfaatkan kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini sebagai bekalan menghadapi perlawanan-perlawanan lebih sukar selepas ini. Saya puas hati dengan keyakinan dan komitmen pemain yang bermain mengikut taktik yang dirancang,” kata beliau. 

Penjaring gol  Hahihihafiz Hanafi lega dengan kemenangan ke atas Nurinsafi tetapi mengingatkan rakan-rakan sepasukan untuk lebih fokus menghadapi bekas juara THT selepas ini.

“Cabaran sebenar kami ialah menentang THT Khamis ini dan saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan,”tambah beliau. 

SABAH 0 – 4 UniKL

Juara bertahan UniKL terus menambah sengsara Sabah dengan kemenangan 4-0  yang meletakkan juara treble itu terikat di tangga ke-3 dengan tujuh mata bersama TNB dalam kedudukan Liga selepas tiga perlawanan. 

Juara Piala Sumbangsih 2021 itu juga memastikan tidak tercicir mata menerusi dua jaringan Faridzul Afiq Mohd pada minit ke-7 dan ke-23 sekaigus memberikan keyakinan buat skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi itu untuk menguasai separuh kedua. 

Penyerang prolifik kebangsaan Muhammad Razie Abd Rahim sekali lagi menemui sasaran dengan jaringan penalti sudut pada minit ke-45 untuk menambah jumlah jaringan peribadi beliau kepada tiga setakat ini.

Rahul Krsikesa Thaichana Muruthoi melengkapkan kemenangan besar 4-0 buat UniKL yang seharusnya tidak berdepan masalah untuk terus mengukuhkan kedudukan pada perlawanan seterusnya menentang Nurinsafi Khamis ini dan UiTm Ahad ini. 

Penjaring dua gol Faridzul Afiq Mohd: “Kita akan terus memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti dari perlawanan malam ini dan mengalihkan fokus untuk perlawanan seterusnya.”

Jurulatih Megat Azrafiq pula berkata pasukan turun dengan sasaran tidak tercicir mata dan lega dengan prestasi anak buahnya.  “Perancangan seterusnya ialah memastikan momentum menang tiga mata setiap mata dan bukan sekadar jaringan yang besar,” kata beliau. 

Sabah kini terperosok di tangga terbawah selepas kalah semua tiga perlawanan sebelum menghadapi satu lagi perlawanan sukar menantang TNB selepas ini. 

THT 4 – 0 UiTM HA

Faizal Saari muncul penjaring hatrik dan menambah koleksi jaringan peribadi kepada tujuh setakat ini selepas membantu THT mengatasi UiTM 4-0 untuk meletakkan gergasi hoki Pantai Timur di tangga ke-4 empat dalam kedudukan keseluruhan Liga.

Faizal menjadi hero hatrik apabila memastikan gol pendahuluan THT menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21 sebelum Muhammad Arif Syafie Ishak  menambah luka UiTM dengan jaringan dari pukulan sudut penalti empat minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Faizal sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-40 dan ke-58 untuk melengkapkan jaringan hatrik sekali gus memastikan kedudukan empat teratas buat THT selepas tiga perlawanan. 

THT kini perlu bersedia di tahap terbaik manakala kecemerlangan Faizal sekali lagi ditagih apabila bekas juara itu turun berentap menentang pendahulu Liga Maybank pada perlawanan keempat mereka Khamis ini. 

Jurulatih K.Rajan berpuas hati dengan empat gol yang dihasilkan THT sambil menyifatkan perlawanan malam ini sebagi kemas sekalipun masih dibelenggu dengan masalah penyudahan.

“Selepas kekalahan tempoh hari di tangan UniKL, kami bertekad untuk menang semua perlawanan selepas ini. Jika keadaan itu menjadi kenyataan, kami berpeluang menduduki tangga kedua dan berharap berlaku perubahan dan keputusan lain yang memihak kepada THT,’ kata beliau. 

TNB 4-2 TNB Thunderbolts

TNB memastikan tiga mata penuh untuk terus mengekori rapat pendahulu Maybank di tangga kedua Liga selepas menundukkan skuad muda TNB Thunderbolts 4-2 dalam satu lagi perlawanan. 

Begitu pun, TNB diberikan tentangan kuat daripada TNB Thunderbolts terutama dalam dua suku pertama yang menyaksikan Aril Misron (minit ke-37) berjaya membalas jaringan penyerang kebangsaan TNB Muhammad Shahril Saabah (minit ke-17) untuk  menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa. 

Begitu pun, TNB meningkatkan tempo permainan pada suku ketiga dan keempat untuk menekan TNB Thunderbolts dari pelbagai sudut. Dua jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-42 dan 51 selesa meletakkan TNB di depan sebelum jaringan padang Muhajir Abdu Rauf melengkapkan kemenangan selesa. 

Muhammad Azammi Adabi merapatkan jurang jaringan untuk Thunderbolts apabila membolosi penjaga gol Muhammad Hairi Abd Rahman pada minit 60. 

Jurulatih TNB Nor Azlan Bakar mengakui agak sedikit gusar apabila TNB Thundrbolts bejata meyamakan kedudukan selepas mereka mendahuli pada minit ke-17 menerusi Shahril Saabah. 

“Thunderbolts berjaya mengekang banyak pergerakan dan serangan kami dengan corak permainan bertahan. Agak sukar untuk pemain kami menembusi benteng Thunderbolts, tambahan pula banyak pukulan sudut penalti yang gagal disempurnakan pemain. 

Strategi kami untuk memastikan tidak tercicir sebarang mata bagi setiap perlawanan kerana  dengan liga sepusingan ini,setiap perlawanan amat penting, ibarat perlawanan akhir,” kata beliau. 

TNB berpeluang terus melebarkan jurang dan mengukuhkan kedudukan apabila turun menentang pasukan paling bawah Sabah Khamis ini sebelum perlawanan getir bertemu pendahulu Maybank pada Ahad. 

KEPUTUSAN PENUH

TNB  4 – 2  TNB Thunderbolts 

Nurinsafi HT  0 – 4 Maybank

THT 4 – 0 UiTM HA

Sabah 0 – 4 UniKL

PERLAWANAN SETERUSNYA

Rabu, 17 Mac:

UniKL mln Nurinsafi HT (6 ptg) NHS 1

TNB mln Sabah (6 ptg) NHS 2

TNB Thunderbolts mln UiTM HA  (8 mlm) NHS 1

Maybank mln THT (8 mlm) NHS 2

- Advertisement -