jonathan-mckain

Oleh Muhammad Aiman

Setelah sekian lama bersabar, pemain pertahanan import Kelantan, Jonathan McKain tidak rela lagi memberi muka apabila membuat keputusan membawa isu tunggakan gajinya yang masih belum dilangsaikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ke pengetahuan FIFA.

Sambil meluahkan rasa kecewanya terhadap pengurusan KAFA, bekas pemain kebangsaan Australia itu berkata dia tidak berminat untuk terus kekal dengan sebuah persatuan yang sarat dengan masalah dan akan kembali ke Brisbane sebaik kontraknya berakhir tidak lama lagi.   

“Sudah lama saya mahu meninggalkan pasukan ini, ianya adalah mustahil bagi mana-mana pemain terus memberikan terbaik apabila terlalu banyak masalah. Semakin hari semakin banyak isu yang timbul dan pengurusan juga tidak berapa bagus.

“Terlalu banyak mereka berhutang dengan saya dan saya tidak rasa mereka akan membayarnya, jadi saya memilih untuk membawa perkara ini kepada FIFA. Saya tidak mahu tetapi saya tiada pilihan. Saya ketika ini saya dalam proses tersebut,” kata McKain sepertimana kenyataan disiarkan laman web bolasepak Australia, www.a-league.com.au.

Ironinya, masalah tunggakan gaji membabitkan Kelantan bukanlah satu perkara baru – sejak beberapa tahun kebelakangan masalah ini sentiasa berulang malah tahun ini sahaja mereka beberapa kali diberi amaran supaya menyelesaikan tunggakan gaji lapan bekas pemain musim termasuk tiga pemain import, selain gaji ketua jurulatih Steve Darby dan Azraai Khor Abdullah.

McKain sendiri pernah berdepan kemelut ini tahun lalu, di mana dia dikhabarkan sudah bersedia memanjangkan perkara ini kepada FIFA sepertimana langkah diambil seorang lagi pemain import, Erwin Carillo namun tidak berbuat demikian setelah KAFA berjanji melangsaikan tunggakan tersebut.

“Kami mempunyai sebuah pasukan yang bagus, tetapi menukar jurulatih, menyingkirkan pemain import, serta masalah kewangan yang tidak berkesudahan menjadikan ianya sukar. Sukar untuk fokus apabila tidak dibayar.

“Kelantan membawa masuk penaja besar pada awal musim (Vida), tetapi semuanya indah di awal sahaja, dia datang dengan bermacam perancangan apa yang dirancang tidak pernah menjadi kenyataan,” ujar pemain berusia 34 tahun itu.

Untuk rekod, McKain mula bersama Kelantan pada 2015 sebagai menggantikan Hussein Ala Hussein dan pantas menjadi antara tonggak yang membantu pasukan itu muncuI naib juara Piala FA tahun lalu, serta menamatkan saingan Liga Super tahun ini di tempat keempat.

“Final Piala FA itu sudah tentunya antara pengalaman terbaik saya bersama Kelantan, saya ingat lagi malam tersebut dari 95 ribu penyokong, 90 ribu adalah penyokong kami. Lebih 60 ribu penyokong sudah membanjiri stadium 6 jam sebelum sepak mula. Walaupun tewas, ia satu pengalaman menakjubkan.

“Pasukan ini mempunyai penyokong yang begitu fanatik dan terlalu sayangkan pasukan, tetapi agak sedih untuk melihat mereka dikecewakan dengan kemelut-kemelut begini. 

“Nasihat saya, mana-mana pemain sebelum datang ke sini (Malaysia), sila selidik dahulu latar belakang pasukan. Agak ramai juga pemain Australia yang telah datang bermain di Malaysia dan mempunyai pengalaman yang menarik, mungkin boleh dapatkan pandangan mereka,” ujar bekas pemain Adelaide dan Wellington Phoenix itu.

- Advertisement -