Status Perak selaku pasukan pilihan menjelang pertembungan menentang Sabah dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia tidak sesekali membuatkan jurulatihnya Mehmet Durakovic mendabik dada.
Perak akan menentang Sabah dalam aksi pertama di Ipoh pada 7 Oktober ini dan kemudiannya bertandang ke Kota Kinabalu untuk aksi timbal balik pada 21 Oktober.
Bagi Mehmet, Sabah telahpun membuktikan kredibiliti mereka sebagai pasukan yang perlu diberi tumpuan dengan melangkah sehingga ke kelompok empat pasukan terbaik justeru mengingatkan barisan pemainnya agar tidak sesekali mengambil mudah cabaran mereka.
āMemang sebelum pertandingan tiada siapa bercakap tentang mereka, tetapi ketika ini mereka sudah berada di separuh akhir. Mereka berada di dalam satu kumpulan yang sukar dan mampu mara sejauh ini, itu sudah cukup membuktikan mereka bukan pasukan calang-calang.
āPahang, Selangor, PKNP dan Kelantan kesemuanya adalah pasukan Liga Super musim ini dan Sabah mara dengan mengatasi mereka semua, jadi kami tidak boleh melakukan kesilapan. Saya telah menonton perlawanan Sabah dan Kelantan (siaran langsung) dan jelas mereka adalah sebuah pasukan taktikal dan mempunyai pemain yang bersemangat tinggi.
āKami perlu berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan memanfaatkan sebaik mungkin aksi pertama di gelanggang sendiri untuk membawa bekala selesa, kerana perlawanan di Likas nanti akan menjadi sangat sukar.
Sama seperti tahun lalu ketika tewas kepada JDT kami gagal menang di Ipoh dan ianya menjadi sangat sukar di Larkin,ā kata Mehmet.
Perak mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut setelah mengetepikan PKNS FC di suku akhir dengan mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam.
Kali terakhir mereka layak ke final adalah pada 2007 manakala kali terakhir bergelar juara adalah pada 2000 dengan menewaskan Negeri Sembilan. MUHD AIMANĀ