Pengendali Perak, Mehmet Durakovic mengakui ada memasang impian untuk beraksi di final Piala Malaysia sekali lagi, namun tidak patah hati meskipun hasrat itu tidak kesampaian setelah pasukannya kecundang 1-4 secara agregat kepada Johor Darul Takzim (JDT) di peringkat separuh akhir.

“Ini adalah apa yang terbaik boleh pemain saya berikan dengan kekuatan yang ada. Kredit kepada mereka kerana tidak berputus asa sehingga minit akhir perlawanan. Semua tahu kami datang ke sini tanpa lima tonggak utama jadi apa harapan boleh diletakkan ke atas mereka.

“Sejak dari awal sememangnya kami tidak diletakkan harapan apatah lagi bermain di Larkin, kalau menang ianya satu bonus. Kita berjaya mengimbangi dan mengikat mereka tanpa jaringan di separuh masa pertama tetapi sukar untuk bertahan pada intensiti permainan yang cukup tinggi.

“Saya mahu semua melihat kekalahan ini dari sudut positif, kita tewas kepada pasukan terbaik dalam negara. Pencapaian mara ke separuh akhir selepas 10 tahun wajar dibanggakan, kita berpeluang akhiri saingan Liga Super dalam kelompok lima teratas, jadi semua ini adalah sesuatu yang bagus untuk masa depan pasukan ini khususnya pemain muda,” kata Mehmet.

Untuk rekod, Mehmet yang berasal dari Australia pernah menjulang Piala Malaysia sebagai pemain bersama Selangor pada 1995, 1996 dan 1997 sebelum mengulangi pencapaian itu pada 2015, kali ini sebagai ketua jurulatih juga bersama Selangor.   

Dalam aksi separuh akhir kedua di Larkin pada Sabtu, The Bos Gaurus yang memburu final pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2007 mendapati harimau selatan terlalu unggul untuk disaingi tatkala skuad juara liga super itu tampil garang dan berkeyakinan tinggi di hadapan hampir 30,000 penyokong sendiri untuk mengesahkan kemenangan 3-0.

Gonzalo Cabrera menjaringkan dua gol pada minit ke-57 dan 80 manakala satu lagi gol dijaringkan Gabriel Guerra pada minit ke-74. Ini adalah kali kedua JDT mara ke final setelah melakukannya pada 2014. OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -