Saingan separuh akhir Final Jelajah Dunia BWF yang berlangsung hari ini menoktahkan perjalanan buat kem negara apabila dua wakil yang beraksi di peringkat separuh akhir gagal meneruskan kemaraan ke final selepas tewas di tangan gandingan Korea Selatan.
Bergu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang turun disebelah pagi tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Soo Hee- Shin Seung Chan 14-21, 15-21.
“Kami tidak bermain dengan baik dan banyak melakukan unforced errors. Pergerakan mereka begitu baik dan beri tekanan kepada kami dan kami juga tidak cukup kuat dibahagian pertahanan.
“Ketika kami menyerang, mereka melakukan serang balas dengan baik dan sukar untuk beri tekanan kepada mereka. Kami terpaksa menggunakan corak bertahan dan serang balas,”kata Mei Kuan.
“Banyak yang kami pelajari sepanjang tiga minggu di sini, kelajuan bulu tangkis perlahan dan perlu banyak belajar untuk sesuaikan diri di gelanggang selain meningkatkan kekuatan mental dan kecergasan,”kata Meng Yean.
Sementara itu, hasrat satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk ke perlawanan akhir Final Jelajah Dunia dalam acdara bergu campuran juga tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan Seo Sung Jae-Chae Yujung 19-21, 8-21.