MENJELANG dua hari sebelum upacara pembukaan rasmi, Melaka mempamerkan kecemerlangan membolot lima emas pada saingan hari pertama Wushu di Sukan Malaysia 2022 (SUKMA XX MSN 2022) yang berlangsung di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, hari ini.
Kejayaan besar itu sekaligus meletakkan Melaka sebagai pendahulu pingat keseluruhan dengan 5 emas, 2 perak dan 1 gangsa.
Namun begitu, Johor juga nyata cemerlang dengan sumbangan dua emas dari wushu selain menunjukkan penguasaan membolot kedua-dua emas acara berbasikal (ujian masa individu lelaki dan ujian masa individu wanita).
Sebanyak 9 pingat emas dipertandingan pada hari ini dengan wushu (7 emas) dan 2 emas dalam berbasikal jalanraya.
Selain itu, saingan peringkat awal Sepak Takraw yang mempertaruhkan lima emas (tiga lelaki dan 2 wanita) bermula hari ini di Dewan Sri Sarjana Uniten manakala Bolasepak peringkat kumpulan, yang menyaksikan berlakunya kejutan hari ini, pula sudah memasuki hari ketiga.
Atlet wushu Melaka Bryan Ti membuka laluan buat Melaka meraih kejayaan besar menerusi saingan Nanquan Lelaki dengan 9.5900 mata mengetepikan Chan Shi Weng dari Johor (9.5700).
“Saya amat gembira kerana menang emas pertama Melaka, saya harap dapat terus mencatat kejayaan lebih besar dan seterusnya mewkili Malaysia,” kata Bryan.
Kejayaan Bryan disusuli Sydney Chin yang meraih emas acara Taijijian sebelum Ang Qi Yue (Jianshu Lelaki) Tammy Tan (Jianshu Wanita) dan Tai Pei Ler (Nanquan Wanita) melengkapkan kejayaan besar Melaka.
Begitu pun, Johor menafikan dominasi Melaka dalam wushu menerusi kejayaan emas Tan Zhen Jie (Daoshu Lelaki) dan Lee Jia Rong dalam saingan Daoshu Wanita.
Acara berbasikal juga nyata menarik dengan skuad berbasikal Johor memastikan tidak berada jauh di belakang Melaka dalam pungutan pingat. Pelumba muda negara yang juga juara kebangsaan Muhammad Nor Aiman Rosli memastikan emas miliknya menerusi acara Ujian Masa Individu 40km dengan masa 38m449s di laluan Bandar Baru Sendayan.
Pelumba wanita Johor Siti Nur Adibah pula meraih penghormatan menjadi pemenang pingat emas pertama SUKMA menerusi kejayaan ujian masa individu 30km di laluan sama di Sendayan. Catatan masa 44:25.801s mengetepikan saingan pelumba Perak Nyo Chi Hui dan Siti Nur Alia dari Terengganu.
Saingan bolasepak menyaksikan kejutan apabila juara bertahan Perak berputih mata mengakhiri penyertaan selepas tewas kali kedua pada peringkat Kumpulan. Skuad Perak tumpas 0-1 di tangan Wilayah Persekutuan pada perlawanan Kumpulan A.
Keputusan bolasepak lain menyaksikan Selangor menewskan Negeri Sembilan 1-0 manakala perlawanan B menyaksikan Pahang menundukkan Sarawak 1-0.
Sarawak kini menduduki tangga ke-3 kedudukan pingat keseluruhan dengan pungutan 1 perak dan dua gangsa, diikuti Perak, Terangganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Esok (Khamis, 15 Sept), 24 emas menjadi rebutan menerusi sembilan sukan yang dipertandingkan termasuk olahraga (7 emas), bola keranjang, kriket, berbasikal (2 emas), bolasepak, hoki padang, karate (7 emas), sepaktakraw dan wushu (8 emas).