Oleh Muhammad Aiman
Melaka United ada sebab tambahan untuk bergembira dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur pada Jumaat, ia bukan sahaja menyaksikan mereka kekal menerajui liga dengan kelebihan tiga mata di tangga teratas, tetapi lebih manis menoktahkan penantian tujuh tahun untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Jaringan Ilija Spasojevic dan Jasmir Mehat dalam tempoh tiga minit memastikan Melaka melakar kemenangan keenam musim ini dan meleburkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur sekaligus muncul pasukan pertama dari 100PLUS Liga Premier untuk mengesahkan kemaraan ke pertandingan tertua di Asia Tenggara itu.
Dengan 21 mata – 8 mata mengatasi pasukan tangga keenam, Kuantan FA, kedudukan Melaka di kelompok lima teratas sudah terjamin dan pengendali, Mat Zan Mat Aris pantas memberi kredit kepada pemain dan penyokong pasukan itu yang dianggap sebagai tulang belakang kejayaan pasukan.
“Saya lega kerana sasaran pertama kita untuk menempatkan diri di kedudukan lima teratas tercapai, dan saya anggap ia satu pencapaian menakjubkan yang bukan sahaja satu keterujaan buat pasukan, tetapi seluruh rakyat Melaka yang sentiasa bersama kami. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan untuk kembali dalam Piala Malaysia selepas begitu lama.
“Kami pasukan baru tetapi pemain membuktikan mereka tidak gentar dengan siapapun, dan harapan saya ini menjadi pembakar semangat buat mereka untuk bermain lebih baik selepas ini,” ujar Mat Zan yang pernah membimbing Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001.
Melaka kali terakhir beraksi dalam saingan Piala Malaysia adalah pada 2009 yang mana mereka gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan setelah hanya mengutip satu mata dari enam perlawanan.
Mengenai peluang pasukannya di pertandingan yang memasuki edisi ke-90 itu, Mat Zan percaya berdasarkan prestasi semasa pasukannya tidak akan bermasalah untuk memberi saingan sengit meskipun bakal berdepan pasukan-pasukan Liga Super yang jauh lebih berpengalaman.
“Sebenarnya ini peluang untuk pemain-pemain buktikan, dalam masa sama menimba pengalaman. Mereka akan beraksi menentang pasukan dari Liga Super, yang memiliki pemain yang jauh lebih berkualiti sama ada import mahupun tempatan, pasukan-pasukan yang ada pemain kebangsaan berbanding kita yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.
“Kalau boleh mara jauh orang kata kejutan, kalau kalah tiada apa untuk dimalukan jadi saya percaya tiada tekanan untuk pemain dan mereka akan bersedia berdepan siapapun lawan mereka dengan mentaliti dan komitmen yang sama,” jelas Mat Zan.