Oleh Muhammad Aiman
Keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (JDT) II sudah memadai untuk membantu Melaka United menjuarai saingan 100 Plus Liga Premier 2016 seterusnya mencatat satu lagi sejarah baru dalam arena bolasepak mereka.
Hanya setahun selepas menjulang Piala FAM, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris menjulang gelaran liga pertama mereka selepas 33 tahun di hadapan penyokong sendiri di Stadium Hang Jebat sekaligus kembali ke kancah saingan Liga Super selepas sembilan tahun ‘menghilang’.
Melaka yang hanya memerlukan satu mata bagi mengesahkan kejuaraan, berada di landasan mencatat kemenangan apabila mendahului pada minit ke-76 menerusi jaringan penyerang dari Palestin, Yashir Pinto sebelum JDT II menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan menerusi Rafael Bonfirm.
Keputusan itu membolehkan Melaka mengumpul 51 mata, berkelebihan sembilan mata ke atas pasukan tangga kedua PKNS Selangor (42 mata) manakala JDT II (41 mata) tergelincir ke tangga ketiga dengan masih berbaki dua lagi perlawanan untuk ditamatkan.
Sementara itu, PKNS Selangor menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 hasil jaringan tunggal Matias Hadwa pada minit ke-33 untuk melonjak ke tangga kedua sekaligus memastikan persaingan merebut satu lagi slot ke Liga Super masih terbuka antara pasukan itu dan juga JDT II.
Kuala Lumpur pula kekal di tangga keempat meskipun tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Selayang – Goran Jerkovic dan Alex Smith meletakkan skuad Hoben Jang Hoben mendahului 2-0 di separuh masa pertama sebelum Naim Nazmi menjaringkan gol saguhati buat tuan rumah di separuh masa kedua.
Jaringan Afif Amirudin dan Charles Chad pula membantu Perlis menewaskan Sime Darby 2-1 seterusnya melonjak ke tangga keenam, manakala Kuantan FA dan Uitm FC pula mencatat keputusan seri 1-1 dan Sabah seri 2-2 menentang DRB Hicom.