Oleh Muhammad Aiman
Aksi tumpuan 100PLUS Liga Premier minggu ini terarah kepada pertembungan antara pendahulu liga Melaka United dan pasukan tangga kedua Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat pada Jumaat.
Kedua-dua pasukan belum tewas setelah lapan perlawanan dan berkongsi 18 mata di tangga teratas namun Melaka mengambil alih kedudukan peneraju menerusi beza jaringan hasil kemenangan 1-0 ke atas DRB Hicom, dan terima kasih kepada Perlis yang mengikat Kuala Lumpur 2-2 di Kangar pada Selasa lalu sekaligus menjadikan ianya perlawanan yang boleh diibaratkan sebagai buku bertemu ruas.
Menjadikan perlawanan lebih menarik, Melaka ada hutang mahu dilangsaikan apabila melayan kunjungan skuad helang kota.
Februari lalu, anak buah Mat Zan Mat Aris dikecewakan Kuala Lumpur dalam aksi pusingan kedua Piala FA menerusi sepakan penalti dan bersemangat tinggi mahu membalas dendam kekalahan itu di hadapan penyokong sendiri.
“Itu adalah satu sebab tambahan mengapa kita mahu tewaskan mereka. Tetapi apa yang penting ketika ini bukan soal balas dendam atau rekod tanpa kalah, tetapi bagaimana cara untuk kita kekalkan momentum ini dan tidak hilang fokus.
“Mereka cukup berkeyakinan, setiap hari turun padang dengan disiplin dan komitmen yang bagus namun saya tidak mahu pemain terbuai dengan kedudukan kita sekarang,” ujar Mat Zan.
Mat Zan yang membawa Melaka menjuarai Piala FAM musim lalu dengan menewaskan Perlis pada perlawanan akhir menambah, “Cabaran di kelompok lima teratas cukup sengit kerana itu adalah kedudukan terakhir untuk layak beraksi di Piala Malaysia.
“Kita perlu terus berada dalam laluan kemenangan untuk layak beraksi di Piala Malaysia, itu sasaran pertama kita dan kemudian baru kita akan lihat apa yang lebih realistik untuk disasarkan. Buat masa ini belum masanya untuk bercakap mengenai kejuaraan atau layak ke Liga Super.”
Melaka dijangka akan dapat menurunkan skuad dengan kekuatan penuh memandangkan pemain import, Balsa Bozovic yang direhatkan akibat kecederaan sebelum ini, dilaporkan sudah kembali cergas dan bersedia untuk diturunkan.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan yang tewas pertama kali selasa lalu setelah mensesiakan kelebihan dua jaringan kepada JDT II akan melayan kunjungan Perlis di Paroi.
Perlis tidak mengharungi musim seperti yang diharapkan dan ianya kelihatan sukar buat Dollah Salleh untuk memacu pasukannya berada di kedudukan lima teratas setelah tamat 11 perlawanan pusingan pertama.
Ini kerana pasukan lain seperti PKNS Selangor, JDT II, DRB Hicom dan Kuantan FA kesemuanya dilihat turut mengintai peluang untuk beraksi di Piala Malaysia dan mempunyai peluang seimbang untuk menamatkan aksi pusingan pertama di kedudukan lima teratas.
Aksi lain pada Jumaat menyaksikan PKNS menentang Uitm FC di Stadium Uitm Shah Alam, manakala JDT II bertandang ke Likas untuk menentang Sabah, Kuantan FA melayan kunjungan Sime Darby di Darul Makmur tatkala DRB Hicom pula menentang pasukan tangga tercorot, ATM.