Setelah gagal melakar kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir, Melaka United bercadang membawa masuk pemain import baru di posisi serangan.
Pasukan itu tewas 0-1 di tangan Terengganu FC pada Sabtu yang menyaksikan E.Elavarasan masih kempunan merasai nikmat kemenangan dalam tiga perlawanan yang telah dikendalikannya sejak mengambil alih tugas dari Eduardo Almeida.
Justeru, Elavarasan berkata perubahan adalah perlu dalam usaha memperkasa sentuhan penyudah pasukan itu yang dilihat tumpul dan hanya menjaringkan 10 gol setakat ini – paling sedikit dalam saingan Liga Super.
“Sudah banyak peningkatan dilihat sejak saya mengambil alih pasukan terutama di bahagian tengah dan pertahanan, kita tidak melepaskan gol yang banyak cuma di bahagian serangan sahaja masih ada kelemahan perlu diperbaiki.
“Pengurusan sudahpun mengusahakan penambahbaikkan yang mana saya jangka akan berlaku pertukaran pemain import, kita tengoklah nanti apa keputusan yang dicapai,” katanya.
Walaupun tidak memberitahu siapa pemain import dalam perancangan untuk digugur, spekulasi mula bertiup ianya pemain dari Singapura, Shahdan Sulaiman yang bakal ditunjuk jalan keluar setelah pemain itu dilaporkan gagal menambat hati penyokong.
Untuk rekod Shahdan yang dibawa dari Tampines Rovers hanya membuat enam penampilan penuh selama 90 minit musim ini bersama Melaka dan penyokong merasakan kualiti pemain itu setaraf pemain tempatan.
Empat import lain dalam pasukan adalah Steven Thicot, Jeon Woo Young, Tiago Gomes serta Yahor Zubovich yang merupakan penjaring terbanyak pasukan. –Â MUHAMMAD AIMANÂ