Oleh Muhammad Aiman
Melaka menghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut buat Kelantan dalam tempoh empat hari di Kota Bharu apabila mencatat kemenangan 2-0 menerusi jaringan Ilija Spasojevic dan Fauzi Roslan di separuh masa kedua perlawanan.
Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat Melaka dan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super sekaligus menutup permulaan goyah yang mana menyaksikan mereka mengharungi tiga perlawanan pertama tanpa kemenangan.
Pengendali skuad dengan jolokan sang kancil itu, Eric Williams memuji karakter dan kesungguhan ditunjukkan barisan pemainnya sepanjang permainan meskipun mereka terpaksa mengharungi dua perlawanan sukar di tempat lawan dalam tempoh singkat.
“Ia satu keputusan yang sukar dipercayai kerana kami mengharungi perjalanan jauh, bermain di Kuching pada Sabtu dan Selasa bermain di Kota Bharu. Bukan mudah untuk menang di sini, malah Kelantan turut beraksi dengan baik di hadapan penyokong mereka sendiri cuma kelemahan mereka adalah tidak dapat menjaringkan gol.
“Kami sebenarnya turun dengan corak permainan defensif di separuh masa pertama berbanding aksi menyerang ditunjukkan Kelantan. Hanya di separuh masa kedua, saya arahkan pemain untuk memberi lebih tekanan dan kita berjaya hukum kelekaan mereka.
“Saya hanya mengekalkan corak permainan dan strategi sama sejak dari perlawanan menentang Sarawak. Saya cukup berpuas hati kita dapat kutip mata maksimum dari dua perlawanan tempat lawan dan sudah tentunya berharap mereka akan kekalkan momentum ini. Saya lihat mereka bertambah baik dari satu ke satu perlawanan,” ujar Wiliams.
Pada perlawanan yang dijadual semula setelah terpaksa ditunda pada 21 Januari lalu itu, kedua-dua pasukan tampil dengan permainan yang berhati-hati di babak pertama dengan penguasaan perlawanan lebih memihak kepada pasukan tuan rumah.
Melaka akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-60 apabila kapten pasukan, Spasojevic menampan masuk hantaran lintang rakan sepasukan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan untuk gol pertamanya musim ini.
Pemain gantian, Fauzi Roslan menutup peluang The Red Warriors untuk bangkit mencari gol penyamaan apabila menjaringkan gol kedua pada minit akhir perlawanan. Kemenangan membolehkan Melaka melonjak ke tangga ketujuh dengan tujuh mata manakala Kelantan tergelincir ke tangga kelapan dengan enam mata.