Oleh Muhammad Aiman
Melaka United terus tidak tercabar di puncak 100 Plus Liga Premier apabila mengekalkan jurang lima mata dengan pesaing terdekat Johor Darul Takzim II setelah menundukkan Perlis 3-1, sekaligus berada di kedudukan terbaik bukan sahaja untuk kembali beraksi di Liga Super setelah sembilan tahun, dalam masa sama menghampiri kejuaraan besar pertama mereka selepas 33 tahun.
Juara Piala FAM 2015 itu bangkit dari ketinggalan kepada jaringan Alafi Mahmud di awal permainan, untuk merakam kemenangan ke-12 musim ini, terima kasih kepada dua jaringan ‘mesin gol’ mereka, Ilisa Spasojevic serta satu menerusi Yashir Pinto dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.
Dengan hanya berbaki enam perlawanan lagi untuk diharungi, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris tidak langsung menunjukkan tanda-tanda mahu mengendurkan momentum dalam saingan liga khususnya, tatkala pencabar awal musim seperti Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur semakin tercicir jauh.
Negeri Sembilan sekadar mampu merakam keputusan seri tanpa jaringan menentang Sabah di gelanggang lawan, menyaksikan mereka kini menghuni tangga kelima dengan 27 mata, beza 12 mata di belakang Melaka.
Manakala Kuala Lumpur pula dipaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang pasukan tangga tercorot pusingan pertama, Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
ATM tiga kali mendahului skuad warga kota menerusi jaringan Khasan Abdulkarimov (m-1), Venice Elphi (m-36) dan Faiz Ibrahim (m-62) namun KL bimbingan Ismail Zakaria menyelamatkan satu mata menerusi jaringan Rashid Aya (m-24), dan Jonathan Zorilla (m-58, 86) dan menduduki tangga keempat dengan 29 mata.
Dalam pada itu, hanya JDT II dan PKNS Selangor, dilihat terus menyalakan sebarang harapan untuk menganggu gugat kedudukan Melaka di puncak liga .
JDT II tampil garang membelasah Uitm FC 4-1 di gelanggang lawan di Shah Alam dengan Paolo Rangel muncul wira setelah meledak empat jaringan pada minit ke-61, 65, 83 dan 90.
Keputusan itu membolehkan skuad Benjamin Mora mengumpul 34 mata dan menghuni tangga kedua, satu mata mengatasi PKNS Selangor yang turut cemerlang melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Kuantan FA di Darul Makmur hasil hatrik jaringan Juan Manuel Cobelli.