Melaka Titans mengukuhkan cengkaman mereka selaku pendahulu saingan Divisyen Satu Sepaktakraw League (STL) setelah menundukkan Negeri Sembilan Antlers 2-0 (21-19, 21-19) dalam aksi berlangsung Khamis di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya.

Selepas sembilan perlawanan, Melaka Titans menerajui carta liga dengan 16 mata, kelebihan dua mata ke atas PDRM Defenders serta empat mata mengatasi Pahang Mammoth, Putrajaya Cyborg dan Sabah Mountaineers yang mengumpul 12 mata.

PDRM Defenders terus memberi tekanan kepada Melaka Titans dalam mencabar kejuaraan Divisyen Satu apabila melonjak ke tangga kedua setelah mencatat kemenangan ketujuh dengan menewaskan PSM Knights 2-0 (21-15, 21-9).

Manakala Putrajaya Cyborg dan Sabah Mountaineers kekal dalam persaingan dengan merakam kemenangan keenam – Putrajaya Cyborg mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan PSM Mavericks 2-0 (21-12, 21-15) sementara Sabah Mountaineers pula bangkit dari kekalahan set pertama untuk menundukkan Kedah Eagles 2-1 (17-21, 21-11, 21-18).

Pahang Mammoth yang tergelincir ke tangga ketiga pula hanya akan turun beraksi pada Jumaat.

Kedudukan tersebut menyaksikan persaingan merebut kejuaraan Divisyen Satu yang menawarkan slot beraksi di STL Champions Cup masih terbuka antara lima pasukan tersebut namun kelebihan tetap dilihat memihak kepada Melaka Titans.

Dalam aksi lain, Sarawak Hunter akhirnya merakam kemenangan pertama dengan menewaskan Perlis Vipers 2-1 (20-22, 21-13, 21-16) manakala Kedah Eagles bangkit daripada kekalahan kepada Sabah Mountaineers untuk mencatat kemenangan keempat dengan menewaskan Labuan Drillers 2-1 (21-16, 9-21, 21-19). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -