Oleh Muhammad Aiman
Penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah sah mengikat kontrak selama setahun bersama Juara Liga Perdana 2016, Melaka United, bagi mengharungi Liga Super musim hadapan.
Pemain berusia 35 tahun itu dilepaskan oleh pasukan lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT) diharap menjadi sandaran untuk membantu Melaka United mencapai keputusan yang positif dlam setiap perlawanan yang diharungi.
Meskipun berhasrat untuk kembali ke pasukan asalnya, Selangor, namun, tawaran dari Melaka United sukar untuk ditolak.
“Sebenarnya selepas tamat kontrak bersama JDT, saya menantikan tawaran daripada Selangor tetapi selepas Melaka datang memberikan tawaran, saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan.
Secara peribadi saya percaya ini adalah pilihan tepat kerana Melaka merupakan pasukan yang dahagakan kejayaan dan mereka sudah membuktikan kecemerlangannya sejak dua musim lalu,” kata Amri Yahyah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron optimis akan kemampuan Amri meskipun timbul spekulasi tentang kemampuannya dan dilabel sebagai kuda tua.
“Dia merupakan pemain yang berkualiti selain pengalaman luas di dalam bola sepak dan agak sukar buat kami untuk tidak mengemukakan tawaran kepadanya.
Peluang mendapatkan khidmatnya adalah sesuatu yang sukar ditolak dan saya percaya dia merupakan pemain yang memiliki keupayaan setara dengan pemain muda berdasarkan kepada kekuatan mental yang dimilikinya,” kata Datuk Seri Idris Haron.
Sepanjang kariernya, Amri sudah menjulang pelbagai trofi kejuaraan termasuk Piala AFC, selain tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT.