Oleh Muhammad Aiman
Skuad memanah negara yakin akan dapat menyumbangkan sekurang-kurangnya empat pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Menurut pengurus pasukan, Shamsuddin Ibrahim, “Kita mensasarkan tiga emas menerusi acara compound iaitu lelaki berpasukan, wanita berpasukan dan wanita berpasukan. Manakala satu menerusi acara recurve berpasukan lelaki.
“Sasaran itu adalah realistik buat masa ini memandangkan Thailand, Filipina dan Indonesia dijangka memberi saingan sengit berdasarkan kepada pencapaian cemerlang pemanah mereka dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini.”
Shamsuddin yang bercakap kepada pemberita pada sidang media Program Kita Juara di Bukit Jalil menambah, “Kita tidak letak sasaran tinggi menerusi acara recurve kerana Thailand dijangka menghantar pemanah olimpik mereka. Apapun Sasaran kita ini adalah lebih kurang sama seperti di Singapura 2015, dan kita juga berharap ada kejutan berlaku.”
Ketika di Sukan Sea Singapura, Malaysia membawa pulang lima daripada 10 emas yang dipertandingkan dengan ratu memanah Fatin Nurfatehah menyumbangkan tiga emas.
Sebagai membantu memperkasakan persiapan menjelang Sukan Sea juga, Shamsuddin berkata pasukan memanah negara akan mengharungi lima kejohanan pemanas badan iaitu empat kejohanan antarabangsa dan satu tempatan.
Kejohanan-kejohanan yang dimaksudkan adalah pusingan pertama Kejohanan Memanah Piala Dunia di Shanghai, China (16-21 Mei); Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan Kedua di Kelantan (17-21 Mei); pusingan kedua Piala Dunia di Turki (6-11 Jun); pusingan ketiga Piala Dunia di Amerika Syarikat (20-25 Jun) serta Kejohanan Piala Asia di Taiwan (4-9 Julai).
Bagaimanapun tidak kesemua 16 pemanah negara akan dihantar mengambil bahagian di semua kejohanan itu bagi memastikan keseimbangan dan kekal berada pada tahap prestasi terbaik.
“Hanya lapan atlet iaitu empat lelaki dan empat wanita dibenarkan bertanding di Piala Dunia. Untuk Kejohanan Piala Dunia di Turki dan Amerika Syarikat, kami akan menghantar pemanah acara recurve di bawah Program Podium manakala atlet di bawah program Kita Juara akan beraksi di Piala Dunia di China dan Piala Asia di Taiwan. Atlet yang tidak menyertai Piala Dunia, mereka akan menyertai Sirkit Kebangsaan di Kelantan,” ujar Shamsuddin lagi.
Sementara itu, jurulatih recurve negara, Marbawi Sulaiman berkata senarai akhir atlet yang membawa cabaran di temasya dwitahunan itu akan dimuktamadkan sebaik berakhirnya Piala Asia di Taiwan dan beliau berharap mereka akan dapat mengekalkan konsistensi prestasi.