Oleh Muhammad Aiman
Atlet renang jarak jauh, Heidi Gan akan menyalakan impiannya untuk beraksi di Sukan Olimpik buat kali kedua menerusi penyertaan di perlumbaan 10km perairan terbuka yang akan berlangsung di Setubal Bay, Portugal pada Sabtu.
Ironinya, Setubal meninggalkan kenangan cukup manis buat Heidi di mana di venue inilah dia mencipta sejarah muncul perenang jarak jauh pertama negara untuk layak ke temasya Olimpik empat tahun lalu dan Heidi mahu mengulangi sejarah itu sekali lagi.
“Ianya menarik untuk kembali ke Setubal, saya telah melalui pengalaman yang cukup manis di sini pada 2012. Saya sangat mahu beraksi di Rio. Memang penampilan olimpik yang pertama adalah suatu yang istimewa, namun saya tetap mahu beraksi sekali lagi di temasya sukan terbesar dunia itu,” ujar perenang berpangkalan di Perth itu.
Dengan 10 slot telahpun diisi menerusi Kejohanan Dunia di Kazan, Russia, Julai tahun lalu, perenang berusia 27 tahun itu akan bersaing dengan 51 lagi perenang dari 31 negara bagi merebut baki 15 slot yang tinggal dalam acara 10km perairan terbuka – setiap negara hanya dibenarkan mempunyai seorang wakil di Olimpik.
Pada 2012, Heidi menamatkan aksi kelayakan di Setubal di tempat ke-28 dari 41 perenang namun mendapat tiket ke London atas kapasiti sebagai perenang terbaik dari Asia namun dia bagaimanapun tidak mahu sekali lagi menyandarkan kepada tuah untuk layak ke Rio De Janeiro.
“Saya bukan lagi perenang bernasib baik dan kurang pengalaman dari Malaysia yang meraih tiket ke Olimpik empat tahun lalu. Saya merasakan seperti saya adalah seorang atlet baru sepenuhnya, dengan lebih pengalaman, lebih latihan khusus serta mentaliti yang berbeza secara keseluruhan,” ujarnya.Â
Justeru itu, Heidi perlu untuk menamatkan perlumbaan pada Sabtu di kelompok 10 perenang terbaik memandangkan lima slot yang berikutnya adalah slot benua – untuk diisi oleh perenang terbaik seterusnya dari benua masing-masing. Â
Selain Heidi, Malaysia akan turut diwakili oleh Kevin Yeap dalam acara 10km perairan terbuka lelaki di Setubal.
Setakat ini, 22 atlet telahpun mengesahkan tiket beraksi di Sukan Olimpik Rio yang akan berlangsung Ogos depan iaitu Pandalela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng (terjun), Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa (berbasikal), Johnathan Wong (menembak), Welson Sim (renang), Khairul Anuar Mohd (memanah), Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin (pelayaran), Nauraj Singh (olahraga) serta Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Keong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo dari sukan badminton.