MALAYSIA memperolehi dua pingat perak pada hari ketiga acara menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang pada Rabu (23 Ogos).
Penembak muda negara, Joseph Lee Joon Kit, 20, menyumbang pingat perak pertama selepas mengutip 48 mata dalam acara skeet lelaki.
Juara bertahan, Jiranut Haihatchukiat dari Thailand mengekalkan pingat emas selepas mengutip 50 mata manakala rakan senegaranya, Tanapat Jangpanich meraih pingat gangsa dengan kutipan 38 mata.
Pingat perak kedua Malaysia ialah menerusi penembak veteran, Hasli Izwan Amir Hasan yang mengutip 24 mata dalam acara rapid fire pistol 25m individu.lelaki. Pingat emas dimenangi penembak Vietnam, Ha Minh Thanh yang mengekalkan kejuaraan dengan kelebihan satu mata.
Pingat gangsa dimenangi penembak Thailand, Pornchai Sukhonpanich (19 mata). Seorang lagi penembak Malaysia, Hafiz Adzha berada di tangga kelima daripada enam peserta.
“Saya sudah memberi yang terbaik namun mungkin rezeki lebih berpihak kepada penembak Vietnam yang menjadi pesaing utama saya sejak 2009,” kata Hasli Izwan, yang membuat penampilan sulung pada Sukan SEA 1997 di Jakarta.
“Saya berpuashati dengan pingat perak ini kerana kita semua sedia maklum acara ini tidak dipertandingan pada dua edisi lepas iaitu pada 2013 di Indonesia dan 2015 di Singapura disebabkan kekurangan penembak,” katanya.
Joon Kit, yang pertama kali mewakili negara pada Sukan SEA, berkata beliau tidak menjangka sama sekali dapat memenangi pingat perak.
Setakat ini, Malaysia sudah meraih dua emas menerusi Benjamin Khor Cheng Jie dalam acara double trap individu lelaki dan Alia Sazana Azahari dalam acara 25m pistol individu wanita.
Malaysia masih mendahului carta kutipan pingat acara menembak selepas tiga hari pertandingan dengan dua emas dan empat perak, disusuli Thailand dengan dua emas dan empat gangsa manakala Indonesia di tangga ketiga dengan satu emas.