Saingan Liga Malaysia 2018 bakal menutup tirai dengan berlangsungnya perlawanan terakhir musim ini antara Perak dan Terengganu yang akan berentap untuk merebut trofi Piala Malaysia pada malam ini.
Ini adalah kali ketiga kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan akhir Piala Malaysia setelah dijodohkan pertama kali pada 1998 dan kemudiannya 2001. Â
Sementara menantikan berlangsungnya aksi final, jom mengimbau semula detik yang tercipta pada dua edisi tersebut. Â
Terengganu juara Piala Malaysia pertama kali (3 November 2001)
Dalam aksi di hadapan lebih 80,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Terengganu menjulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah dengan menewaskan juara bertahan Perak 2-1.
Sang penyu sebelum itu tewas tiga kali dalam aksi final pada 1973, 1982 dan 1998.
Ketinggalan 0-1 pada babak pertama menerusi jaringan Rafdi Rashid pada minit ke-17, sang penyu bimbingan Mat Zan Mat Aris bangkit menterbalikkan keputusan dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua.
Rosdi Talib menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi sepakan penalti selepas Wan Rohaimi Wan Ismail dijatuhkan oleh pemain pertahanan Perak, K. Nantha Kumar dalam kotak penalti.
Penyerang, Sapian Wahid menambah gol kedua Terengganu pada minit ke-59 hasil rembatan leret yang gagal diselamatkan Azlisham Ibrahim.
Hairuddin Omar pula dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Penalti julang Perak selaku juara (12 Disember 1998)
Inilah aksi final yang merasmikan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit masa sebenar dan 30 minit masa tambahan sebelum Perak bimbingan Karl Heinz Weigang muncul juara buat kali kelima menerusi penentuan penalti.
Setelah babak pertama berakhir tanpa jaringan, Perak yang dibarisi nama-nama popular bolasepak tanah air ketika itu seperti Khairul Anuar Baharom, Lim Seng Kong, Azrul Amri Burhan, M.Nagaraja serta ramai lagi mendahului menerusi jaringan V.Saravanan pada minit ke-56.
Mohd Nor Derus bagaimanapun mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila rembatan kencangnya setelah menerima umpanan Samuel Chebli pada minit ke-83 mengikat kedudukan 1-1.
Perlawanan kemudiannya berlanjutan ke tendangan penalti di mana Perak menyempurnakan kesemua lima tendangan menerusi Roslan Hamid, Khairul Anuar, Seng Kong, Chan Kok Heng dan Janos Krescka manakala Terengganu hanya beroleh jaringan menerusi Anuar Jusoh, Jean Nyima dan Rosadi Wahab manakala tendangan Badrul Hisyam Abdullah tersasar. – OLEH MUHAMMAD AIMAN