Oleh Muhammad Aiman
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan kerja-kerja merubah landskap bolasepak tanah air yang mengalami kemelut tidak berkesudahan memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya tanggungjawab individu bergelar presiden semata-mata.
Nama Annuar adalah yang terbaru dikaitkan dengan ‘kerusi panas’ presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana diyakini mempunyai kredibiliti diperlukan untuk menggerakkan transformasi sepertimana dia merubah wajah bolasepak Kelantan dalam tempoh sedekad lalu.
Namun, bapa pembangunan bolasepak Kelantan itu berkata walau siapapun nama yang dikaitkan dengan jawatan nombor satu dalam FAM itu, adalah penting untuk kesemua ahli gabungan sepakat dalam memilih calon yang dianggap paling layak menerajui badan induk itu.
“Saya fikir kali ini kita nak adakan perbincangan sesama Presiden semua ahli gabungan (persatuan negeri dan kelab) sebab kita perlu ambil pendekatan baru, bukan soal satu-satu individu. Kita nak cuba buat satu pendekatan bersifat kolektif supaya semua pihak ambil tanggungjawab memajukan bolasepak melalui satu pelan yang semua komited untuk laksanakan.
“Ini bukan soal individu-individu tertentu. Kita perlu berbincang sesama kita apakah jalan terbaik boleh diambil bagi mengangkat semula imej bolasepak kita. Kita akan berbincang bulan ini dan adakan perjumpaan dengan presiden persatuan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan diterima semua.”
Annuar ditemui Sports247 pada Majlis Penghargaan Wira dan Wirawati Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio anjuran UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Jumaat.
Cakap-cakap mengenai calon presiden FAM yang baru timbul setelah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat mahu melepaskan jawatan presiden yang disandangnya sejak Mei 2014 dan memberi mandat kepada exco FAM untuk mengadakan pemilihan baru bagi semua jawatan pada Kongres Pemilihan ke-53 yang diawalkan ke tahun hadapan.
Setakat ini hanya dua tokoh korporat iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang juga pemilik kelab Liga England, Queens Park Rangers serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Datuk Seri Idris Jala menyatakan secara terbuka mahu merebut jawatan itu.
Untuk rekod, calon presiden perlu menerima sekurang-kurangnya satu pencalonan daripada ahli gabungan FAM dan mestilah warganegara Malaysia.