Spekulasi masa depan pemain Argentina, Lione Messi akhirnya selesai, selepas pemain itu mengesahkan akan kekal bersama Barcelona.
Namun beliau hanya akan kekal untuk melengkapkan baki kontraknya yang akan tamat pada 2021 sejak menandatangani kontrak selama empat tahun pada 2017.
Keputusan itu didedahkan kepada Goal.com selepas sepi dengan pelbagai spekulasi selama 11 hari selepas beritanya yang mahu meninggalkan Nou Camp.
Pusingan ‘U’ yang dibuat pemain berusia 33 tahun ini bagaimanapun menimbulkan pelbagai pandangan negatif apabila beliau mendedahkan tidak lagi bahagia di kelab itu.
Messi menyatakan mahu meninggalkan Barcelona sejak tahun lalu selepas tidak gembira dengan situasi kelab itu ditambah misi pengurusan yang mahu menggunakan pemain muda.
Messi melihat ia sebagai penghujung untuknya di Nou Camp ditambah berdepan kesulitan ketika latihan sekaligus mengubah misinya untuk menamatkan karier di Barca.
Beliau turut mempersoalkan status kontraknya kerana beliau dibenarkan untuk membuat pilihan untuk berhijrah tanpa sebarang bayaran perpindahan di penghujung musim 2019/2020.
Messi mempunyai tempoh sehingga 10 Jun untuk memutuskan masa depannya di Barca namun ‘tuah’ memihak Barcelona susulan tarikh tersebut masih di dalam situasi dimana dunia sedang berdepan pandemik Covid 19.
Pengurusan juga meletakkan 700 juta Euro kepada mana mana kelab yang mahu mendapatkan Messi.
Situasi tegang dengan pengurusan The Catalan memaksa ayah Messi, Jorge turun padang bertemu dengan Presiden Joseph Maria Bartomeu namun kedua dua pihak tampak gagal mencapai kata putus.
Jorge juga tidak berpuas hati dan berhasrat mahu membawa isu ini ke mahkamah namun ia tidak disenangi Messi yang berharap kerumitan yang sedang berlaku diselesaikan secara baik.
Barcelona sebelum ini dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain muda Inter Milan, Lautaro Martinez yang dianggap pengganti kepada Messi.