Seramai 13 penyokong Kedah yang berdepan detik hitam ketika van yang dinaiki mereka terbakar dalam perjalanan untuk menyaksikan aksi separuh akhir Shopee Piala FA 2019 menerima tanda penghargaan istimewa daripada Malaysian Football League (MFL).
Ini selepas 13 penyokong terbabit menerima tiket percuma final Shopee Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini yang diserahkan oleh MFL sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka terhadap pasukan Helang Merah.
MFL memuji semangat tinggi ditunjukkan oleh penyokong berkenaan apabila mereka tetap meneruskan perjalanan ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi walaupun ditimpa musibah pada pertengahan jalan yang menyaksikan van dinaiki musnah terbakar.
Justeru, 13 tiket aksi final antara Perak dan Kedah pada Sabtu ini diberikan kepada mereka sebagai pengiktirafan terhadap semangat yang ditunjukkan selain diharap dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka atas dugaan yang menimpa.
Seramai tujuh orang wakil penyokong hadir ke sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 pada Isnin lalu bagi menerima tiket yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.
Suaznat Sulaiman yang merupakan salah seorang mangsa terbabit berterima kasih atas keprihatinan MFL kepada mereka yang terlibat dalam insiden itu.
âKejadian itu tidak mematahkan semangat kami sebab nak tunjukkan semangat yang ada dalam diri sebagai penyokong ni akan sampai kepada pemain-pemain Kedah untuk beraksi.
âSebab itulah kami teruskan juga perjalanan kami ke stadium (Stadium Tun Abdul Razak) walaupun sudah ditimpa dugaan besar dengan barang-barang berharga juga turut musnah dalam kebakaran itu,â kata Suaznat.
Tambah Zulkiffli, âKami tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan apa-apa pun terima kasih banyak-banyak kepada pihak MFL dan CEO MFL Kevin Ramalingam serta kelab-kelab gabungan yang banyak beri sokongan daripada belakang,â katanya.
Apa yang pasti, tiket perlawanan akhir itu pasti menyuntik semangat mereka untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil ,Sabtu ini malah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin menyifatkan pengorbanan sebegitu wajar dipuji demi semangat cintakan pasukan.
âKejadian waktu itu sememangnya dugaan besar kepada penyokong yang terlibat dan tidak sangka van yang dibawa musnah terbakar sepenuhnya.
âTapi kami di pihak KFA amat terharu atas pengorbanan dan rasa cinta penyokong kepada pasukan yang sanggup turun juga ke stadium walaupun sudah ditimpa musibah.
âKami juga berterima kasih atas hadiah daripada MFL ini yang diberikan kepada penyokong-penyokong kamiâ, katanya.