foto – Malaysian Football League

 

 

Malaysian Football League (MFL) mendedahkan pihaknya tidak terburu-buru untuk melantik pengurus besar Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) tanpa perancangan lebih rapi dan teratur dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia.

Ini kerana MFL tidak mahu pelantikan pengurus besar dibuat secara tangkap muat di mana MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu melantik calon paling terbaik bagi menguruskan PMOM yang dijangka berjalan pada tahun ini.

Projek PMOM tercetus hasil kerjasama MFL dengan FAM telah pun bermula sebagaimana MFL dan FAM kini berada dalam fasa-fasa terakhir membentuk PMOM di mana mereka mahu mendapatkan khidmat pengurus besar dari luar negara yang bukan saja berpengalaman luas dalam bidang pengadilan malah pengurusan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, pihaknya telah berada dalam proses menilai calon-calon sesuai dan terbaik sebagai pengurus besar PMOM dan beliau berharap PMOM ini bakal menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk menambahbaik mutu pengadilan Liga Malaysia pada masa akan datang.

“PMOM sudah berada dalam pelaksanaan. Memang kita sudah lama tekankan isu-isu (pengadilan) ini dan di saat ini kita sudah membentuk satu organisasi itu selain bekerjasama dengan pihak FAM yang juga sudah bersetuju juga untuk meneruskan projek ini.

“Kita sedang giat untuk memastikan bahawa kita mendapat khidmat pengurus besar yang sesuai dan berpengalaman. Itu amat penting sekali jika tidak kita akan terburu-buru tanpa memikirkan kesan lanjut.

“MFL melihat PMOM ini adalah masa depan pengadil dan kita berharap dengan melaksanakan projek ini dapat meningkatkan mutu pengadilan selain berharap dapat juga membantu FAM untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), di London bulan lalu. MUHD AIMAN 

- Advertisement -