SAH kini penentuan juara TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) akan dimuktamadkan pada perlawanan terakhir di Stadium Hoki Batu Burok (SHBB), Kuala Terengganu Selasa ini.

Dengan hanya kelebihan satu mata, THT berharap dapat menggunakan kelebihan psikologi bermain di gelanggang sendiri untuk menekan TNB Selasa ini.

Namun, berbanding TNB, THT berada dalam keadaan agak tertekan kerana hanya kemenangan ke atas TNB akan memastikan kejuaraan buat pasukan pantai timur itu.

Sebaliknya bagi TNB, mengelak dari kalah dan keputusan seri sudah memadai untuk anak buah Nor Saiful Zaini dijulang sebagai juara 2022.

Ketika THT tiada pilihan selain kemenangan, TNB juga pasti bertandang ke SHBB dengan mentaliti untuk menang tetapi anak buah Nur Saiful Zaini sedar bahawa keputusan seri memadai untuk mengesahkan kejuaraan.

Menjelang perlawanan penentuan, THT terus menyerlahkan kekuatan menumpaskan TNB Thunderbolts dengan kemenangan besar 5-1.

Hatrik penyerang kebangsaan Faizal Saari pada minit ke-26, 32 dan 55 memberi amaran awal buat TNB untuk bersedia menghadapi arus serangan aggresif THT Selasa ini. Faizal kini mendahului kedudukan sebagai penjaring terbanyak liga dengan 22 gol setakat ini.

“Memang, kami tiada pilihan selain menang pada perlawanan terakhir nanti. Tetapi yang pentig, semua pemain bebas dari kececederaan selepas perlawanan hari ini, dan pemain ada dua hari untuk pulihkan fizikal. Dua hari inijuga akan digunakan untuk merangka strategi dan tingkatkan latihan.

Selain itu, kami juga mengharapkan sokongan penyokong Terengganu untuk memberi semangat dan motivasi bagi memastikan kemenangan nanti,” pengendali THT Roslan jamaluddin.

Dalam pada itu, Maybank mengesahkan kedudukan ketiga liga selepas menerusi kemenangan National Development Team 6-1.

UiTM pula terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat liga sekali pun menang besar 9-1 ke atas Nurinsafi Sporting.

Penyerang Faridzul Afiq, yang menambah koleksi gol peribadi kepada 13 keseluruhannya selepas menjaringkan satu gol hari ini, pasti menjadi tonggak dan harapan untuk melakukan kejutan pada saingan separuh akhir nanti.

“Memang saya puas hati dengan prestasi pemain dan keputusan hari ini yang mengesahkan tempat di separuh akhir dan kedudukan keempat keseluruhan.

Kami akan gunakan perlawanan terakhir menentang TNB Thunderbolts nanti sebagai persiapan memperkemas strategi untuk menghadapi samada THT atau TNB di separuh akhir nanti,” kata jurulatih UiTM Shaiful Azli Abdul Rahman.

Saingan separuh akhir Piala TNB yang diadakan secara timbal balik akan bermula 25 Mac ini, manakala final dijadualkan pada 31 Mac.

 

- Advertisement -