Tidak mahu usaha yang diambil selama bertahun-tahun untuk membangunkan bolasepak dalam kalangan masyarakat India menjadi sia-sia, MIFA akan melupakan hasrat untuk menarik diri dari Liga Malaysia seperti yang disuarakan Presidennya, T.Mohan sebelum ini.
Sejurus selepas Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengumumkan denda kepada 10 pasukan Liga-M iaitu RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier, Mohan lantang mempertikaikan asas hukuman tersebut dan berkata lebih rela pasukan itu menarik diri dari membayar denda.
Namun menurutnya, “Jika tarik diri, tiada gunanya kerja keras kami selama ini demi kemajuan bolasepak dalam komuniti kami. Tetapi kami akan buat rayuan, selewatnya minggu depan. Selepas mendapat keputusan (rayuan), kami akan bermesyuarat untuk putuskan halatuju pasukan dan mungkin mengehadkan operasi.
“Kami pasukan berbajet rendah, sekitar RM6 juta dan tiada sokongan kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan. Jika kami perlu membayar denda, pastinya sukar untuk diteruskan biarpun kami mempunyai penaja yang mahu membantu,” kata Mohan.
Menurut Mohan, kesilapan MIFA hanyalah lewat menghantar satu dokumen dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengambil masa seminggu untuk diperoleh, selebihnya tiada kelewatan dalam sebarang pembayaran sama ada gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun PERKESO.
Justeru Mohan mendedahkan dia mungkin juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia yang juga Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membincangkan perkara ini dengan harapan hukuman ke atas mereka setidak-tidaknya dapat dikurangkan.
“Ia hanyalah mengenai kelewatan, bukan kegagalan. Jadi kami harap masih ada ruang untuk pertimbangan wajar. Setengah juta adalah satu perenam daripada kos operasi kami, sangatlah membebankan jika terpaksa membayar sebanyak itu untuk kelewatan hantar dokumen.
“Ada yang kata tidak mengapa nanti boleh potong dari geran tahunan yang FAM akan bagi, tetapi bagi saya, ia tetap satu kerugian kerana jumlah tersebut boleh digunakan untuk membantu kos operasi berbanding membayar denda,” ujar Mohan lagi.
Selain MIFA, lima pasukan Liga Premier lain dikenakan denda berjumlah sama adalah Kuantan FA, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang dan UKM FC manakala empat pasukan Liga Super dikenakan denda RM1.5 juta adalah Kelantan, PKNS FC, Selangor dan Kuala Lumpur. – OLEH MUHAMMAD AIMAN