MIFA meneruskan langkahan giant-killer mereka dalam kempen Piala Malaysia apabila menjadikan Kelantan pula sebagai mangsa terbaru dengan menewaskan pasukan penuh bermasalah itu 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan C pada Jumaat.

Aksi di hadapan kira-kira 1,500 penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan MIFA turun dengan motivasi tinggi untuk membuktikan kemenangan dilakar ke atas Johor Darul Takzim (JDT) tempoh hari bukan disebabkan nasib semata-mata.

Skuad bimbingan K.Devan itu mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan penalti Kpah Sean Sherman pada minit ke-25 tatkala Kelantan turut mencipta beberapa peluang mengikat kedudukan menerusi Shafiq Shaharudin dan Baktiyar Dushebekov namun dihampakan ketiadaan sentuhan penyudah.

Aksi seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan di separuh masa kedua dengan berbalas mencipta peluang jaringan namun ianya MIFA yang memanfaatkan peluang mereka menerusi rembatan dari luar kotak penalti J.Satrunan Pilli yang gagal diselamatkan Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-75.

Kekalahan menyaksikan skuad bimbingan Yusri Che Lah kini berada di tangga ketiga kumpulan dengan satu mata dan prestasi semasa menunjukkan mereka sukar untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

 

 

Sementara itu, satu lagi aksi dalam Kumpulan C menyaksikan juara bertahan Johor Darul Takzim kembali ke landasan kemenangan setelah membelasah finalis musim lalu Kedah 5-1 di Larkin.

Kedudukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama setelah Sandro Mendonca da Silva memadam jaringan pendahuluan oleh Fernando Marquez.

Namun pasukan yang dibimbing Luciano Figueroa buat pertama kali itu garang meledak empat jaringan di separuh masa kedua menerusi Natxo Insa (m-47), Ahmad Hazwan Bakri (m-73), Gonzalo Cabrera (m-82) dan S.Kunanlan (m-90).MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -