Oleh Muhammad Aiman
Selepas tiga pemainnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan mengatur perlawanan, kelab bolasepak Majlis Sukan India Malaysia (MISC-MIFA) menegaskan betapa mereka tidak akan sedikitpun bertolak ansur dengan siapapun dari kelab itu yang terlibat dengan tindakan terkutuk itu.
Tiga pemain iaitu Alan Aciar, S.Harivarman dan Khairul Izzuwan ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM yang mana siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka telah menerima suapan sekitar RM10,000 – RM30,000 untuk mengatur keputusan perlawanan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan mereka sudah lama terbabit dalam kegiatan itu dan mengaut ratusan ribu ringgit malah tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pemain yang akan ditahan SPRM bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat.
Dalam satu sidang media tergempar di Universiti Sains Islam Malaysia petang tadi, Presiden MIFA, Datuk T.Mohan berkata, “Sebagai presiden, ingin saya tegaskan pendirian kelab ini betapa kami memandang tinggi dan mahu mengekalkan standard tinggi ke atas nilai integriti dan ketelusan di dalam pengurusan pasukan.”
Mohan menjelaskan keraguan mengenai adanya unsur ‘menjual perlawanan’ di dalam pasukan MIFA timbul setelah pasukan itu tewas 3-6 kepada Sarawak dalam saingan Piala FA pada 14 Februari, dan kemudiannya tunduk 2-7 kepada Uitm FC di gelanggang sendiri dalam saingan 100PLUS Liga Premier pada 3 Mac sekaligus mendorong mereka menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas.
“Apabila kami mendapat tahu akan kemungkinan bahawa pemain kami ada terlibat dengan tindakan menentukan keputusan perlawanan, kami telah melantik sebuah jawatankuasa bebas untuk melakukan siasatan dalaman dan hasil penemuan daripada jawatankuasa berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan hari ini adalah hasil daripada laporan itu dan kami serahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk lakukan apa yang patut. Kami tidak akan campur tangan, sekarang ini mereka masih direman (sehingga 12 April), kita tunggu apa hasil siasatan itu nanti sebelum membuat keputusan mengenai status pemain berkenaan dalam pasukan.”
Untuk rekod, MIFA layak beraksi di saingan Liga Premier musim ini setelah muncul juara Piala FAM 2016 dan ketika ini mereka terperosok di kedudukan kesebelas setelah mengumpul hanya tiga mata dari tujuh perlawanan, hasil kemenangan ke atas JDT II.
Aksi seterusnya bagi MIFA adalah menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada Jumaat (7 April).