Pelumba Astana Pro Cycling, Riccardo Minali meraih kemenangan peringkat kali kedua dalam edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018 apabila menguasai henjutan beramai-ramai Peringkat 4 dari Dungun ke Pekan, hari ini.

Ia adalah kemenangan peringkat kali kedua buat pelumba kelahiran Itali itu, selepas memenangi Peringkat 2 dari Gerik ke Kota Bharu, Isnin lalu., dan lebih bermakna apabila dapat menepis cabaran pakar pecut handalan, Andrea Guardini (Bardiani-CSF), sekali gus membolehkannya merampas jersi hijau Raja Pecut yang disarung Kim Daeyun (KSPO) semalam.

Dalam kayuhan sejauh 183.8km dari Dungun itu, Minali mengetuai kelompok besar pelumba menamatkan kayuhan dengan masa 4 jam 10 minit 14 saat, manakala Guardini di tempat kedua dan pelumba TSG, Hariff Salleh di tempat ketiga.

Di akhir perlumbaan itu, jersi polka dot Raja Bukit kekal disarung pelumba Manzano-Postaban, Bernardo Albeiro Suaza manakala pelumba negara yang mewakili Forca-Amskins, Nik Mohd Azwan Zulkilfie terus mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia buat hari kedua berturut-turut.

Biarpun terdapat pemecahan awal sekumpulan enam pelumba – Rustom Lim dan Arjay Peralta (7-Eleven); Zhang Zheng (Hengxiang); Choi Seongwoo (KSPO); Muhammad Nur Aiman Zariff (Sapura) dan Sarawut Sirionnachai (Thailand Continental) yang menguasai tiga zon pecutan dan satu zon pendakian di sepanjang laluan, peloton terus memastikan mereka tidak dapat melebarkan jarak.

Walaupun perbezaan masa pada suatu ketika mencecah 5 minit 10 saat, manakala Sarawut tercicir daripada kumpulan depan itu, peloton tetap tenang dengan CCC Sprandi dan Astana bertindak memacu kayuhan sebelum dapat menelan mereka pada baki 10 kilometer terakhir.

“Laluan landai hari ini memang sesuai untuk pakar pecut dan saya hanya menyimpan tenaga untuk henjutan terakhir. Begitupun, cubaan seorang pelumba (Callum Scotson/Michelton-Bikeexchange) menyebabkan semua pasukan berkayuh laju sebelum dapat menangkapnya pada kilometer terakhir.

“Saya mula menghenjut deras lebih awal dan gembira dapat mengekalkan kedudukan walaupun bersaing dengan Guardini. Kemenangan hari ini sedikit manis kerana Guardini tiada di Kota Bharu tempoh hari,” kata pelumba berusia 22 tahun yang juga anak kepada Nicola Minali, bekas pakar pecut dekad 90an.

Menurutnya, pasukan Astana hadir dengan matlamat mengejar jersi kuning keseluruhan menerusi Yevgeniy Gidich dan jersi Raja Pecut yang disarungnya ketika ini, turut akan cuba dipertahankan sehingga peringkat terakhir di Kuala Lumpur nanti.

Sementara itu, penyarung jersi kuning buat hari kedua berturut-turut, Adam De Vos dari Rally Cycling, berkata selepas bekerja keras dalam kumpulan pemecah sebelum memenangi Peringkat 3 di Kuala Terengganu semalam, dia hanya berkayuh secara selamat di dalam peloton, hari ini.

“Rakan-rakan sepasukan banyak melindungi saya dan walaupun ada kumpulan kecil pelumba yang membuat pemecahan, ia bukan ancaman kepada kelompok besar dan saya tidak terasa sebarang tekanan sepanjang kayuhan.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan keadaan fizikal saya hari ini menjelang kayuhan mendaki ke Cameron Highlands esok dan akan cuba mempertahankannya,” kata De Vos yang kini mengumpul masa keseluruhan 16 jam 55 minit 45 saat, 14 saat di depan pencabar terdekat Nik Mohd Azwan (Forca).

Bagi Nik Mohd Azwan yang menamatkan Peringkat 4 itu di tangga ke-10, tumpuannya hanyalah untuk memastikan De Vos tidak hilang daripada penglihatannya kerana dia turut berpeluang memenangi jersi kuning keseluruhan..

“Hari ini memang sudah dijangka berakhir dengan pecut beramai-ramai, jadi saya hanya berkayuh secara selamat di dalam kumpulan besar, walaupun terpaksa berdepan tiupan angin dari tepi dan depan.

“Saya harap dapat mengekalkan jersi putih ini, dan harapan peribadi saya ialah untuk memberi cabaran dalam senarai individu keseluruhan. Saya tidak dianggap pendaki terbaik tetapi saya akan cuba dalam peringkat pendakian ke Cameron Highlands esok,” kata pelumba 28 tahun kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu.

Sementara itu, Hariff yang terbabit dalam insiden pergaduhan dengan pelumba Giant Cycling, Chen Zhiwen selepas penamat Peringkat 3 semalam, berkata dia tidak terganggu dan tetap dengan misinya mencari podium pada LTdL 2018 ini.

“Saya tahu tahap pecutan saya setanding dengan Guardini dan Minali dan hari ini saya mencuba lagi, dan gembira dengan tempat ketiga ini,” katanya yang mengakui pergelangan tangannya sedikit lebam dalam pergaduhan itu.

“Tetapi sebelum perlumbaan pagi tadi, kami sudah berjumpa dan bersalaman. Jadi tiada masalah lagi. Fokus saya tetap untuk mencari kemenangan pada laluan landai selepas Peringkat 5 esok,” katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh semalam.

LTdL 2018 diteruskan dengan Peringkat 5 dari Bentong ke Cameron Highlands sejauh 169.4 esok, membabitkan tiga zon pecutan di Raub (Km 27.1); Cheroh (Km41.1) dan Sungai Koyan (Km77.8) sebelum pelumba menempuh dua zon pendakian iaitu kategori 1 di Ringlet dan kategori Hors di Tanah Rata pada ketinggian 1,430 meter dari aras laut.

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

RESULTS

STAGE

  1. Riccardo Minali – ASTANA – 4:10:1
  2. Andrea Guardini – BARDINI CSF – same
  3. Mohd Harrif Saleh – TSG – same

 

OVERALL

  1. Adam De Vos – RALLY CYCLING – 16:55:45
  2. Nik Mohd Azwan Zulkifli – FORCA AMSKIN – 16:55:59
  3. Harrison Sweeney – MITCHELTON BIKEEXCHANGE – 16:58:07

 

BEST SPRINTERS’ (GREEN JERSEY)

  1. Riccardo Minali – ASTANA – 38 points
  2. Andrea Guardini –BARDINI – 31 points
  3. Kim Daeyeon – KSPO – 27 points

 

BEST CLIMBERS’ (RED POLKA DOT JERSEY)

  1. Bernardo Suaza Arango – MANZANA POSTOBON – 19 points
  2. Marcelo Felipe – SEVEN ELEVN – 18 points
  3. Muhammad Abdurohman – KFC – 11 points
- Advertisement -