Saingan Sepaktakraw League (STL) Premier akan menutup tirainya pada minggu ini sekaligus menjadi minggu penentuan siapakah dua pasukan yang akan mengiringi Penang Black Panthers untuk beraksi di STL Champions Cup bersama-sama juara Divisyen Satu dan empat pasukan antarabangsa iaitu Korea Selatan, India, Thailand dan Indonesia.

Dengan Penang Black Panthers sudahpun mengesahkan kejuaraan buat musim kedua berturut-turut pada minggu lalu, empat pasukan – Perak Bison, Kelantan Warriors, Terengganu Turtles dan Kuala Lumpur Thunder sedang bersaing sengit untuk menempatkan diri di kelompok tiga teratas.

Kelebihan ketika ini dilihat memihak kepada juara Divisyen Satu musim lalu, Perak Bison yang memerlukan hanya satu kemenangan dari dua perlawanan berbaki menentang Terengganu Turtles dan Kuala Lumpur Thunder.

Pasukan yang diperkuatkan tekong berbisa, Meor Zulfikar Mat Amin itu membuktikan betapa mereka bukan calang-calang pasukan meskipun berstatus pendatang baru apabila mengejutkan ramai dengan melonjak ke tangga kedua hasil dua kemenangan pada minggu keenam tempoh hari.

Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles yang terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di kedudukan tiga teratas dek kekalahan keenam yang dialami pada Sabtu lalu, berdepan misi wajib menang kedua-dua perlawanan berbaki jika mahu menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik.

Namun, ia tidak mungkin terjadi kerana dua pasukan pantai timur itu akan berdepan sesama sendiri dalam aksi terakhir STL Premier musim ini pada Ahad nanti sekaligus menyaksikan kemungkinan salah satu daripada mereka bakal berputih mata.

Di atas kertas, Kelantan Warriors dianggap sebagai pilihan memandangkan prestasi mereka dalam tiga minggu terakhir tampak konsisten berbanding Terengganu Turtles yang dihimpit masalah kecederaan dan kecergasan pemain tonggak termasuk Fadzil Roslan, Zulkifli Razak dan Hanafiah Dollah.

Peluang untuk finalis musim lalu, KL Thunder pula dilihat tipis berbanding pencabar lain – mereka perlu memenangi kedua-dua perlawanan menentang Penang Black Panthers dan Perak Bison, sambil mengharapkan kesemua lawan di atas mereka termasuk Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles masing-masing mengalami kekalahan tanpa memenangi sebarang set.

Andai KL Thunder tewas pula, mereka berdepan bahaya tersingkir ke saingan Divisyen Satu musim depan. Selain memburu tempat tiga teratas, pasukan itu bersama-sama Selangor Pistons dan ATM Guardians sedang turut berjuang untuk keluar dari zon bahaya dan mengelak mengiringi Johor Tigris yang sudahpun sah tersingkir ke Divisyen Satu.

Bagi Divisyen Satu, carta liga ketika ini sedang diterajui oleh Melaka Titans yang mengambil alih kedudukan pendahulu dengan menundukkan Pahang Mammoth.

Dengan saingan menuju minggu penutup, peluang masih ada bagi dua lagi pasukan iaitu PDRM Defenders dan Putrajaya Cyborg untuk vuba mencipta kejutan bergelar juara.OLEH MUHD AIMAN 

 

Jadual aksi minggu ketujuh (terakhir):

17 November (Jumaat) : Penang Black Panthers lwn Kuala Lumpur Thunder (8 mlm), ATM Guardians lwn Selangor Pistons (9.30 mlm)

18 November (Sabtu) : Terengganu Turtles lwn Perak Bison (5 ptg), Kelantan Warriors lwn Johor Tigris (6 ptg), Selangor Pistons lwn Penang Black Panthers (8 mlm)

29 Oktober (Ahad) : Perak Bison lwn Kuala Lumpur Thunder (5 ptg), Johor Tigris lwn ATM Guardians (6 ptg), Kelantan Warriors lwn Terengganu Turtles (8 mlm)

 

- Advertisement -