Md Harith Farhan Baharin tekad untuk bangkit memberikan cabaran sengit di kelompok hadapan dalam saingan CP115 apabila turun beraksi di hadapan penyokong sendiri pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, pada 5 dan 6 Mei ini.
Pelumba pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu masih gagal untuk menamatkan dua perlumbaan awal musim 2017 di kelompok hadapan meskipun mempunyai rekod baik dengan meraih dua podium termasuk satu gelaran juara pada tahun pertama beraksi dalam kelas CP115 untuk menamatkan musim 2016 di tangga keenam keseluruhan.
“Nasib saya tidak begitu baik sepanjang dua perlumbaan lepas. Saya gagal menamatkan perlumbaan pertama di Temerloh dan sekadar tamat di kedudukan ke-11 pada perlumbaan pusingan lepas. Berbeza dengan tahun 2016 apabila saya seringkali berada di kelompok depan dan berjaya menaiki podium,” jelas pelumba berasal dari Kuala Terengganu itu.
Tambah pelumba berusia 18 tahun itu lagi, “Dari segi jentera, kami kelihatan sedikit ketinggalan berbanding pasukan lain, ditambah dengan kesilapan-kesilapan kecil yang saya lakukan. Walaupun masih mampu layak ke pusingan shoot-out, tetapi saya gagal untuk mendapatkan kedudukan petak mula di barisan hadapan. Saya yakin selepas ini pasukan akan melakukan sesuatu untuk membolehkan saya tampil lebih kompetitif dan membantu saya mendapatkan petak mula yang lebih baik.
“Perlumbaan minggu ini sangat penting dan saya tekad untuk memberikan aksi terbaik. Kehadiran keluarga dan rakan-rakan di Terengganu sudah tentu akan membakar semangat saya. Saya perlu mendapatkan keputusan yang baik, kalau boleh di atas podium untuk kembali bersaing di kelompok atas memandangkan ketika ini saya hanya mengumpul empat mata, jauh ketinggalan berbanding pelumba di kelompok atas dalam senarai keseluruhan.”
Perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Bandar Baru Kijal, Kemaman pada 5 dan 6 Mei. Masuk adalah percuma.