Oleh Muhammad Aiman
Jaringan penalti di penghujung perlawanan oleh G.Thipenraj membolehkan MISC-MIFA menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) 1-0 dalam perlawanan akhir pertama Piala FAM di Stadium Shah Alam.
Kedua-dua pasukan menghampiri wisel penamat dengan keputusan seri tanpa jaringan, namun kesilapan pemain pertahanan PKNP, Mazni Khairul Hasnan mengasari Thipenraj di dalam kotak penalti pada minit ke-90 merubah jalan cerita perlawanan itu.
Thipenraj tenang menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol PKNP, Khairul Izuwan Shaari untuk gol kesembilan peribadinya dalam saingan Piala FAM sekaligus memastikan skuad bimbingan Jacob Joseph hanya selangkah sahaja lagi untuk muncul juara.
Bagi Jacob, meskipun menang beliau belum mahu menarik nafas lega dan berpendapat masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi timbal balik di Ipoh pada 27 Oktober depan.
“Masih ada 90 minit dan kita akan bermain di gelanggang lawan. Kita boleh nampak pada perlawanan ini tengah dan serangan PKNP sangat bagus. Barisan tengah saya tidak menjalankan tugas, sebab itulah barisan depan Perak senang mengucar-kacirkan pertahanan kita. Saya berpuas hati menang tetapi ada beberapa pemain bermain sambil lewa.
“Mungkin di pusingan kedua nanti saya akan terapkan permainan bertahan, kita tidak menjaringkan gol pun tidak mengapa di sana kerana kita sudah ada satu gol dan perlu mempertahankannya. Kita ada seminggu untuk kenalpasti kelemahan dan kita perlu menggunakannya sebaik mungkin,” kata Jacob.
Bagi PKNP pula, mereka meratapi kegagalan barisan depan diketuai penjaring terbanyak Piala FAM, Shahrel Fikri Fauzi untuk menyempurnakan beberapa peluang terhidang termasuk tandukannya pada minit ke-70 yang sedikit tersasar manakala percubaan Hamizul Izaidi Zulkifli terkena palang.
“Itulah final, tekanan dia sampai ke minit akhir. Saya akui pemain saya telah bermain sebaik mungkin. Cuma sedikit kealpaan, penalti itu kita boleh elakkan, tapi nak buat macam mana kita dihukum. Kita ada peluang banyak, tapi gugup, pemain saya pun pertama kali main final saya faham perasaan mereka,” jelas ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.
“Apapun saya yakin mereka akan buat lebih baik di Ipoh nanti. Kita juga akan mendapat semula khidmat kapten pasukan dan Mohd Hilmi pada perlawanan kedua nanti. Kita akan manfaatkan sebaiknya 90 minit yang berbaki, beri tekanan untuk menjaringkan gol seawal minit pertama,” tambahnya lagi.