Skuad Harimau Malaya akan memulakan misi pemburuan ke Piala Asia pada Oktober selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengeluarkan tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung pada Mac dan Jun sebelum digantung susulan pandemik COVID-19

Berdasarkan tarikh baru, Malaysia akan meneruskan saingan Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 8 Okt, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov.

Selepas beraksi lima perlawanan, Malaysia menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (6 mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

AFC akan terus memantau perkembangan semasa penularan Covid 19 untuk memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat terutama komuniti bolasepak menjadi perkara utama.

Pemindaan tarikh akan dilakukan andai situasi semasa masih belum berada di tahap yang baik.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih menanti lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara untuk memulakan kem latihan bagi persiapan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

 

- Advertisement -