Saingan bagi perlawanan bolasepak di Sukan Asia Indonesia 2018 buat skuad bawah 23 tahun negara bakal bermula esok dimana Malaysia akan memulakan kempen saingan pembukaan bagi kumpulan E menentang Kyrgystan di Stadium Jalak Harupat, Bandung.
Datuk Ong Kim Swee telah menetapkan tiada istilah ambil mudah terhadap kesemua pasukan yang akan ditentang kelak.
“Tiada istilah kita mengambil mudah. Bagi saya kesemua perlawanan disini amat penting dan pasukan terbaik akan tetap diturunkan untuk perlawanan esok dan saya menjangkakan perlawanan cukup sengit dan penting bagi kita mendapatkan keputusan yang cukup baik,”kata Kim Swee menerusi audio temu bual daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tambahnya lagi kajian dan analisis tentang kekuatan pasukan Kyrgystan telah pun dilakukan lebih awal untuk mencari formula terbaik sekaligus memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia.
“Kyrgystan mempunyai corak permainan seperti Uzbekistan. Mereka mempunyai teknik dan kualiti yang dimana kita tidak boleh mengambil mudah dan mereka bermain dlm liga yang kompetitif,”kata KIm Swee lagi.

Malah, beliau menetapkan matlamat untuk mencari kemenangan selain cuba untuk mengelak sebarang keputusan seri apatah lagi kekalahan dalam tiga perlawanan yang akan diharungi kelak.
Selepas berdepan Kyrgyzstan, cabaran besar menanti Malaysia yang dijadual bertemu Korea Selatan pada 17 Ogos di venue yang sama disusuli aksi menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos untuk melengkapkan jadual kumpulan E.
16 pasukan yang mengesahkan slot ke peringkat kedua seterusnya terdiri daripada dua pasukan teratas bagi kesemua enam kumpulan manakala baki empat pasukan adalah terdiri daripada pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik.
Sesi latihan pertama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee turut disaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.