Oleh Ku Mohd Lufti
Walaupun sudah melepaskan jawatannya, bekas pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) Mohd Afendy Abdullah tetap meneruskan tugasnya dalam mempersiapkan dua atlet pelayaran, Mohd Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif sebelum ke sukan Olimpik Rio Ogos nanti.
Afendy melepaskan jawatannya selaku pengurus besar MSA, untuk memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin sukan itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan alasan berhubung keputusan perletakkan jawatannya.
Namun, khabar angin bertiup mengatakan campur tangan oleh individu dalaman persatuan menjadi punca perletakkan jawatan Afendy baru baru ini.
Namun Afendy tidak mengundurkan diri sepenuhnya, sebaliknya bersedia untuk mencurah bakti andai diperlukan.
“Bagi saya, sudah sampai masa untuk orang muda mentadbir bahagian pengurusan, kerana mereka muda dan lebih berpengalaman dalam bidang teknologi maklumat (IT). Kita perlu terima keputusan ini demi kebaikan sukan pelayaran,” kata Afendy.
Afendy juga mengesahkan akan ke Rio untuk mengiringi skuad pelayaran di Sukan Olimpik Ogos nanti sekaligus menolak sangkaan beliau tidak akan ke Rio.
Namanya sebelum ini tidak dicalonkan oleh MSA untuk menggalas tugas selaku pengurus pasukan di Rio, namun kembali dipertimbangkan selepas campur tangan oleh menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.